MASIH terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang menyimpan duit dan barangan kemas dengan jumlah yang banyak di dalam rumah tanpa menitikberatkan risiko kehilangan harta benda mereka.
Tidak dinafikan, amalan konvensional itu sering dipraktikkan nenek moyang kita.
Bagaimanapun dengan kaedah tersebut, anda sebenarnya menanggung risiko keselamatan yang lebih tinggi, termasuk kehilangan wang akibat rumah dimasuki pencuri atau berlaku bencana alam seperti banjir.
BACA LAGI: Harga emas naik, beli emas fizikal atau digital, mana lebih menguntungkan?
Seperti kejadian menimpa seorang usahawan yang dikenali sebagai Kieda Crepe, wanita berkenaan mengalami kerugian sebanyak RM800,000 selepas rumahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang dipecah masuk penjenayah pada April lalu.
Hal itu didedahkan sendiri pemilik nama sebenar Siti Nur Khalieda Yusra menerusi perkongsian di media sosial miliknya pada Ahad.
Kejadian tersebut turut disedari ketika pulang ke rumah selepas selesai berniaga.
Usahawan pencuci mulut itu memberitahu, dia dan suaminya hanya menyedari peti besi yang mengandungi barang kemas bernilai RM800,000 hilang ketika mengemas bilik tidur yang berselerak akibat diselongkar penjenayah.
"Peti besi anggaran berat 200 kilogram itu disimpan di dalam almari. Di dalam peti besi itu ada semua barang kemas saya.
"Selepas keluarga dan kakitangan datang ke rumah, baru kami berdua ke balai polis untuk buat laporan," katanya.
Kegiatan menceroboh dan mencuri wang tunai melibatkan ribuan ringgit serta barang kemas semakin kerap dilaporkan berlaku di negara ini.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika bukan rumah, di mana lagi sepatutnya barang kemas mereka disimpan?
Buat mereka yang tidak tahu, selain menyimpan wang di dalam rumah, terdapat beberapa lokasi atau kaedah lain yang boleh digunakan untuk memastikan barang kemas anda sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Di sini Majoriti senaraikan tiga langkah yang boleh diambil untuk menyimpan barang kemas, dalam masa sama dapat memberikan ketenangan kepada anda.
1. Sewa peti simpan selamat bank
Peti simpan selamat bank mempunyai tahap keselamatan yang tinggi dan dilindungi oleh insurans.
Anda boleh menyewa peti simpan selamat bank atau syarikat-syarikat swasta untuk menyimpan barang kemas.
Peti simpan selamat bank mempunyai tahap keselamatan yang tinggi dan dilindungi oleh insurans.
Jangan bimbang kerana sudah banyak bank di Malaysia seperti Maybank, CIMB, dan Public Bank yang menawarkan perkhidmatan peti simpan selamat ini.
Bagaimanapun bukan semua cawangan bank tersebut yang menawarkan khidmat peti simpan selamat ini.
Jadi anda perlu berhubung sendiri dengan cawangan bank yang berkaitan dan bertanya kepada mereka.
Anda juga boleh memilih untuk menyimpan emas melalui Amanah Saham yang diuruskan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Pelaburan tersebut kebiasaannya mempunyai jaminan keselamatan yang tinggi dan ia juga dikawal selia pihak berkuasa.
2. Simpan di pajak gadai
Anda boleh menyimpan emas dengan selamat melalui pajak gadai.
Selain menggunakan perkhidmatan sewaan peti keselamatan, anda juga boleh menyimpan emas anda dengan selamat melalui pajak gadai.
Apabila anda memajak emas, emas tersebut akan disimpan di kedai pajak dengan caj simpanan yang dikenakan.
Bergantung pada kedai pajak yang anda pilih kerana ada yang mengenakan caj sebanyak satu peratus daripada nilai emas yang dipajak sebulan.
Makin panjang tempoh pajakan, makin banyaklah caj simpanan yang perlu anda bayar.
3. Beli peti keselamatan
Anda juga boleh membeli dan menyimpan barang kemas dalam peti keselamatan di rumah.
Anda juga boleh membeli dan menyimpan barang kemas dalam peti keselamatan di rumah.
Untuk lebih selamat, sediakan peti keselamatan yang memerlukan kunci khas atau kod keselamatan yang hanya diketahui pemiliknya sahaja.
Terdapat banyak pilihan dan saiz peti keselamatan yang boleh dipilih. Lagi besar, lagi bagus kerana ia berat dan tidak mudah dialihkan.
Bagaimanapun, ia perlu disimpan di tempat yang tersorok daripada mata kasar dan kurang sesuai untuk mereka yang memiliki emas yang banyak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram