PADAH tidak mengunci kereta, satu keluarga berdepan nasib malang apabila kenderaan dinaiki mereka dicuri dalam kejadian di Semambu, Kuantan, Pahang pada Isnin.
Menerusi video tular di Facebook sejak Isnin, kejadian bermula apabila seorang lelaki secara bersahaja dilihat masuk ke dalam kereta yang diparkir di sebuah stesen minyak, sebelum membawa lari kenderaan terbabit.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen tersebut, pemilik kereta pada awalnya dipercayai tidak menyedari akan gerak-geri individu tersebut.
BACA LAGI: Warga emas maut ditikam anak saudara dengan gunting di Kuching
BACA LAGI: Sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada hasil siasatan — Ketua Polis Selangor
Pada masa sama, seorang wanita yang duduk di tempat penumpang dilihat cuba keluar dari kereta namun tidak berjaya.
Berdasarkan maklumat dikongsikan, wanita berkenaan telah ditolak keluar oleh lelaki tersebut tidak lama selepas itu.
Dalam perkembangan lain, satu hantaran yang dikongsikan oleh pengguna Twitter dengan nama akaun @DianaParish mendedahkan bahawa kereta itu milik saudaranya yang dicuri sekitar pukul 3.11 petang.
Difahamkan, wanita berkenaan sudah pun membuat laporan polis berkenaan kes kecurian tersebut.
"Kes curi kereta, nak minta jasa baik semua orang, kereta sepupu saya kena curi, dah repot polis cuma kalau ada orang dapat tolong viralkan, boleh cepat dapat.
"This is the only car dia ada untuk kerja, hantar parents check up," tulisnya di X.
Susulan kejadian itu, polis sedang memburu suspek kes melarikan sebuah kereta yang ditinggalkan bersama penumpang wanita warga emas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari dalam kenyataan berkata, suspek menurunkan penumpang di tepi jalan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian dan terus melarikan kereta jenis Honda City milik seorang akauntan wanita berusia 38 tahun.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa yang beralamat dari Sentul, Kuala Lumpur bersama ayah, 77 tahun dan emaknya, 66 tahun yang juga pesara guru berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak serta ke tandas.
Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan mendapati suspek datang ke stesen minyak itu menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX-5.
"Semakan ke atas motosikal yang ditinggalkan suspek mendapati ia motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
Tambahnya, selain kereta, mangsa turut kehilangan telefon bimbit jenis IPhone 14, kad Touch n Go (TnG) dan Smart Tag yang berada dalam kenderaan dilarikan manakala anggaran nilai kerugian mencecah RM94,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram