Lebih 180,000 rakan pemandu, penghantar Grab Malaysia terima tajaan caruman SKSPS


  • Massa
  • Selasa, 04 Jun 2024

Dari kiri hadapan: Mohammed Azman, Steven dan Rashid ketika Majlis Pemeterian SKSPS dan Pemeteraian MoU antara KESUMA PERKESO bersama Grab Malaysia di hotel di ibu kota, pada Selasa.  — PERKESO

LEBIH 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing) Grab Malaysia menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, tajaan perlindungan oleh Grab Malaysia bagi rakan pemandu dan penghantar di bawah kendalian mereka adalah untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan bermula dari tarikh didaftarkan.

"Tajaan Grab Malaysia adalah menerusi inisiatif Belanjawan 2024, di bawah geran padanan caruman SKSPS, dengan 90 peratus ditanggung kerajaan manakala baki sebanyak 10 peratus ditaja sepenuhnya Grab Malaysia.

BACA LAGI: KESUMA bentang laporan interim penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu

BACA LAGI: Sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada hasil siasatan — Ketua Polis Selangor

WhatsApp Image 2024-06-04 at 14.12.45

Mohammed Azman (duduk kiri) dan Rashid (duduk kanan) memeterai MoU antara KESUMA PERKESO bersama Grab Malaysia. PERKESO

"Melalui inisiatif ini, perlindungan percuma diberikan kepada mereka yang layak sekali gus berupaya mengurangkan beban pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing dalam mendapatkan perlindungan sebagai sokongan kewangan bagi menjamin keselamatan dan keluarga mereka sekiranya ditimpa bencana sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri mereka," katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri KESUMA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemeterian SKSPS dan Pemeteraian MoU antara KESUMA PERKESO bersama Grab Malaysia di hotel di ibu kota, pada Selasa.

Mengulas lanjut, jelas Steven, signifikan SKSPS kepada pencarum dibuktikan berdasarkan perangkaan yang dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ujar beliau, bagi tahun ini iaitu sehingga 24 Mei lalu, sebanyak 2,033 kes tuntutan diterima dan diproses dengan pembayaran faedah keseluruhan mencecah lebih RM8.93 juta merangkumi 20 sektor.

WhatsApp Image 2024-06-04 at 14.10.46 (1)

Steven ketika berucap di Majlis Pemeterian SKSPS dan Pemeteraian MoU KESUMA PERKESO bersama Grab Malaysia. PERKESO

"Daripada jumlah itu, sektor e-hailing dan p-hailing mencatatkan sebanyak 631 kes tuntutan dengan pembayaran faedah berjumlah RM3.3 juta.

"Dalam tempoh sama, PERKESO turut merekodkan seramai 622,473 pencarum SKSPS aktif setakat 24 Mei lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, kerjasama berterusan dengan PERKESO merupakan manifestasi komitmen mereka untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan peluang yang mudah diakses dan fleksibel dalam ekonomi yang berkembang maju.

Ujarnya, ia termasuk akses kepada peluang pendapatan, perlindungan sosial yang kukuh dan peluang peningkatan kemahiran yang berterusan.

"Rakan pemandu dan penghantar Grab memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia," tambahnya.

Menurut Rashid, pihaknya komited menawarkan ketenangan fikiran kepada golongan tersebut dan keluarga mereka dengan menjamin kebajikan melalui pemberian insurans percuma, memudahcara caruman ke dalam skim keselamatan sosial, dan melaksanakan inisiatif keselamatan.

Jelas beliau, mereka yang layak dan mendaftar inisiatif SKSPS, serta telah membuat caruman juga akan mendapat pembayaran balik berdasarkan jumlah yang ditaja.

"Dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakan untuk mendaftar SKSPS, Grab akan turut memanfaatkan platform dan saluran yang berkaitan untuk memacu kesedaran dan pendidikan lanjut dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar di seluruh negara," jelas Rashid lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram