LAMBAKAN peniaga warga asing yang masih tidak serik membuka tapak perniagaan di sekitar bandar Kuala Lumpur meskipun pernah dikenakan tindakan undang-undang semakin meresahkan masyarakat khususnya warga kota.
Walaupun operasi membanteras golongan tersebut giat dilaksanakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), situasi masih lagi sama.
Mereka masih menjalankan operasi menjual barangan sama di lokasi yang pernah disita sebelum ini, seperti tiada apa yang berlaku.
BACA LAGI: [VIDEO] Tidak sampai sebulan DBKL gempur ibu kota, penjaja warga asing masih bermaharajalela
Menerusi hasil tinjauan Majoriti di sekitar kaki lima Jalan Silang, Lebuh Pudu dan Jalan Petaling di Kuala Lumpur pada Khamis, warga asing didapati masih berani menjalankan operasi perniagaan seperti biasa.
Bahu jalan itu masih sahaja dipenuhi peniaga yang menjual sirih, buah-buahan, kerepek, beg dan pakaian terpakai.
Dengan kesan ludahan kapur sirih bertebaran di atas lantai, ditambah sampah sarap di sekeliling mereka telah merencatkan pemandangan di kota raya.
Di sekitar bahu jalan masih sahaja dipenuhi peniaga yang menjual makanan seperti sirih.
Kebanyakan warga asing yang membuka tapak di situ antaranya berasal dari Bangladesh, Nepal dan Rohingya.
Ketika menghampiri salah seorang peniaga sirih, seperti diduga, peniaga dan beberapa rakan di sekelilingnya memandang wartawan dengan pandangan tajam, seolah-olah sudah menghidu motif kedatangan kami di sana.
Tidak lama selepas Majoriti merakam suasana sekitar, kelihatan seorang peniaga mengalihkan mejanya yang dipenuhi barangan jualan ke belakang dinding, sambil memandang ke arah kami.
Gerak-gerinya yang mencurigakan itu menyebabkan wartawan memutuskan untuk melalui semula jalan itu dengan menaiki kereta.
Ternyata, peniaga warga asing dipercayai berasal dari Bangladesh itu bertindak meletakkan kembali mejanya di hadapan jalan.
Seolah-olah tidak serik, mereka masih berani menjaja secara haram meskipun tapak niaga pernah disita sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, rata-rata peniaga warga asing yang ditemui mengaku bahawa tapak niaga itu bukan kepunyaan mereka, sebaliknya ia dimiliki oleh penduduk tempatan.
Sementara mereka hanyalah pekerja yang dibayar gaji semata-mata.
Tinjauan turut mendapati, majoriti pembeli juga terdiri daripada kalangan warga asing, dengan kebanyakan kaum lelaki dilihat menghabiskan masa melepak di kawasan tersebut.
Difahamkan, lebih ramai warga asing yang akan menjalankan perniagaan di lokasi itu pada hujung minggu, berbanding hari biasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram