KONFLIK serangan Iran ke atas Israel baru-baru ini mengakibatkan harga emas global naik melepasi paras tertinggi baharu iaitu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram.
Menerusi satu nota penyelidikan yang dikeluarkan, CIMB Treasury and Markets Research memaklumkan, peningkatan konflik di Asia Barat menyaksikan harga emas melonjak sebelum menyusut kepada AS$2,350 (RM11,203.60) atau RM360.20 segram.
Trend peningkatan dari semasa ke semasa mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pencinta emas.
Melihat keadaan ini, mungkin ramai yang sudah mula berkira-kira untuk membeli emas sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital.
Namun adakah kedua-dua jenis emas tersebut memiliki fungsi dan nilai yang sama?
Premium adalah istilah yang digunakan dalam industri logam berharga.
Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor berkata, emas fizikal dan emas digital berbeza dari sudut objektif pelaburan.
Beliau berkata, emas fizikal mempunyai kos yang berbeza bergantung pada denominasi yang dibeli.
"Istilah yang digunakan dalam industri logam berharga ialah premium.
"Sebagai contoh, harga segram emas fizikal berbeza untuk emas jongkong 10 gram (g) dan emas jongkong 100g.
"Perbezaan ini adalah disebabkan premium atau kos pembuatan dan kos yang berkaitan dengan penghasilan setiap denominasi yang berbeza," katanya kepada Majoriti.
Beliau dalam masa sama turut menjelaskan beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua jenis emas tersebut.
"Namun penjelasan ini bukan bermaksud mahu menunjukkan emas mana yang lebih baik kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri," ujarnya.
Emas fizikal
Emas fizikal adalah hak milik mutlak anda dan tidak tertakluk pada harga belian semula atau syarat-syarat penjual.
Sekiranya tidak berpuas hati dengan harga atau syarat yang dikenakan oleh penjual A, anda boleh menjualnya kepada penjual B, C dan lain-lain.
Bahkan sekiranya penjual A tutup kedai sekalipun, anda tidak perlu risau kerana masih terdapat ribuan pembeli lain yang akan membeli daripada anda.
Dari kiri : Nik Mohd Haniff, Mohd Faizal
Emas digital
Terma dan syarat penjualan serta pembelian emas dalam bentuk digital boleh berubah pada bila-bila masa, bergantung kepada pihak yang mengeluarkannya.
Contohnya, emas yang dijual dalam bentuk digital oleh bank A adalah tertakluk pada syarat dan terma yang ditetapkan oleh bank A.
Begitu juga dengan harga jual/beli dan julat harga yang ditetapkan pihak pengeluar emas digital tersebut, ia boleh berubah-ubah mengikut kehendak mereka.
Sekiranya tidak berpuas hati, anda tidak boleh menebus emas digital tersebut dan menjual dari bank A ke bank B, walaupun harga, syarat dan terma bank B lebih menarik.
Waspada pilih syarikat emas digital
Sementara itu, peniaga emas dan Pengarah Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid berkata, emas fizikal mempunyai julat harga yang hampir sama berbanding emas digital terutamanya dominasi besar seperti 100g dan satu kilogram (kg).
Jelasnya, emas digital pula mempunyai julat harga yang rendah berbanding fizikal untuk dominasi 0.5g dan satu gram.
Bagaimanapun beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati hati ketika memilih syarikat yang menjual emas digital.
"Ini kerana jualan emas digital tidak diselia dengan ketat oleh badan kerajaan.
"Jadi pelabur terdedah kepada beberapa perkara seperti emas digital yang dijual tidak bersandarkan pada stok sepenuhnya dan juga berkemungkinan timbul isu patuh syariah.
"Selain itu, pelabur emas fizikal mempunyai pilihan untuk menjual emas mereka kepada ramai pembeli emas untuk mendapatkan harga tertinggi berbanding pelabur emas digital yang hanya boleh menjual balik kepada syarikat platform," ujarnya.
Terma dan syarat penjualan serta pembelian emas dalam bentuk digital boleh berubah pada bila-bila masa. — Gambar hiasan
Mengulas lanjut mengenai pelaburan emas, Nik Mohd Haniff berkata, emas merupakan aset pelaburan yang sesuai sepanjang zaman.
"Oleh itu, bergantung kepada individu sama ada ingin menjual emas dan mengambil keuntungan kerana harga telah naik sebanyak 30 peratus dalam setahun lalu.
"Mereka juga boleh menambah pelaburan emas kerana beberapa bank menjangkakan harga emas akan naik melepasi RM400 segram," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram