KABINET pada dasarnya bersetuju untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) untuk menangani isu pendaftaran pakar perubatan yang mendapat kelayakan kepakaran melalui laluan paralel atau ‘Parallel Pathway’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, draf Rang Undang-undang untuk pindaan itu sudah siap dan kini disemak Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang semula ke Kabinet.
Menurutnya, pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri.
BACA LAGI: MCMC rakam keterangan 4 individu sebar kandungan palsu penganjuran majlis tilawah al-Quran
BACA LAGI: MCMC, PDRM desak TikTok, Meta pantau kandungan memudaratkan
"Pindaan Akta 50 bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel dan memperkemas proses pengiktirafan serta pendaftaran sebagai pakar perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024.
Dr Dzulkefly menjelaskan, satu Memorandum Jemaah Menteri yang dikemukakan oleh beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai cadangan pindaan Akta 50 sudah dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
"Jemaah Menteri juga cakna akan keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara," ujarnya.
Beliau berkata, laluan paralel dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program sarjana perubatan yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan bertujuan melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan tersebut.
"Justeru melalui pindaan yang akan dibuat, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan," jelasnya lagi.
Meskipun mendapat tentangan segelintir pihak, KKM kekal dengan pendirian untuk meminda Akta 50 mengenai Program Parallel Pathway (PPP).
Tambah Dr Dzulkefly, dalam masa yang sama doktor yang sudah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
"Ini sekali gus membolehkan segala isu berbangkit diselesaikan segera dan KKM akan memastikan bahawa kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan ini dibuat nanti," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram