MCMC rakam keterangan 4 individu sebar kandungan palsu penganjuran majlis tilawah al-Quran


  • Primer
  • Sabtu, 06 Apr 2024

MCMC sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa individu menyebarkan mesej palsu tentang penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2024.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2024.

MCMC berkata, seramai empat daripada beberapa pemilik akaun Facebook yang disyaki membuat penghantaran kandungan tersebut telah dipanggil untuk siasatan dan rakaman percakapan oleh pihak MCMC pada Jumaat.

"Semua data yang dimuat naik oleh mereka telah direkodkan sebagai bahan bukti untuk siasatan dan tindakan lanjut. Penyebaran kandungan tersebut dikesan di Facebook melalui beberapa akaun.

"Beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: Rebut 'pahala' masa Ramadan, Boss James dipuji sedekah barang sekolah di Klang

Screenshot (798)

Pemilik-pemilik akaun media sosial terlibat yang dirakam kenyataannya berhubung kes itu.

BACA LAGI: 'Terima kasih kerana sabar dan memahami', Maybank respons beribu pelanggan 'tersidai' angkara masalah gangguan sistem

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan tampil mengesahkan dakwaan tiada pertandingan majlis tilawah al-Quran, dalam masa terdekat yang tular di media sosial sejak Jumaat itu tidak benar.

Beliau dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei di Kuantan, Pahang manakala Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 5 hingga 12 Oktober.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengesan hantaran mesej tersusun itu sejak Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram