PENYEDIA platform TikTok dan Meta digesa supaya lebih berwaspada dan proaktif kerana kandungan media sosial berbahaya yang dikesan pada suku pertama 2024 melebihi jumlah keseluruhan 2023.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat dengan kedua-dua penyedia platform berkenaan, yang dipengerusikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor pada Isnin.
Katanya, mesyuarat berkenaan adalah usaha bersepadu MCMC bersama pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan bagi menangani penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, bangsa, institusi raja).
BACA LAGI: 'Allahuakbar', ibu meraung lihat anak maut terlibat nahas di Melaka sebelum raya
Fahmi yang menegaskan perkara tersebut. — The Star
BACA LAGI: 'Kenapa Syawal esok bukan Khamis', ada jawapan rupanya Malaysia, Arab Saudi raya serentak
Penyedia platform terbabit turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif, dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
"Selain itu, TikTok dan Meta digesa membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun, serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan yang memudaratkan seperti penipuan serta perjudian haram dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Berdasarkan statistik MCMC, terdapat peningkatan kandungan memudaratkan dalam media sosial dan platform 'Over The Top'.
Dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.
"Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu," katanya.
Perkara lain yang turut dibincangkan adalah penambahbaikan terhadap keselamatan dalam talian, khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial.
Menurut kenyataan itu lagi, ia bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan dalam media sosial.
"TikTok dan Meta juga telah disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh, sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram