Polis perlu dibekalkan teknologi AI, banteras jenayah — Ahmad Zahid


  • Primer
  • Isnin, 03 Jun 2024

PDRM perlu dibekalkan teknologi AI bagi membanteras jenayah. — The Star

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) perlu dibekalkan dengan peralatan canggih selari dengan perkembangan teknologi yang pesat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Teknologi telah berubah dengan pantas dan penjenayah juga menggunakannya.

"Sehubungan itu, polis mesti berupaya untuk menghapuskan jenayah," katanya pada sidang media selepas melancarkan operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di Hutan Melintang, Perak pada Ahad.

BACA LAGI: 'Bukan setakat kena lawan 'straight A', pelajar perlu bersaing dengan teknologi AI'

BACA LAGI: Teknologi AI dalam kehidupan harian, ketahui pandangan Islam

Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, jenayah siber dan terancang mesti dibanteras.

"Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IOT) adalah antara elemen penting yang perlu diberikan kepada Polis Diraja Malaysia," katanya.

Beliau dalam pada masa sama percaya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan meneliti bagaimana Kementerian Keselamatan Awam China boleh membantu polis Malaysia semasa lawatannya ke negara itu kelak.

Jelasnya, walaupun Malaysia turut bekerjasama dengan polis di negara lain, China merupakan antara negara yang mempunyai peralatan dan teknologi canggih dalam bidang keselamatan.

"Penubuhan agensi sempadan tunggal adalah salah satu penyelesaian untuk memerangi pelbagai bentuk jenayah sempadan.

“InsyaALLAH, satu akta khusus akan dibuat untuk agensi persempadanan tunggal dan saya berharap isu keselamatan kekal menjadi keutamaan negara kita," katanya.

Jelasnya, ujian kamera litar tertutup (CCTV) pengecaman muka telah dilaksanakan di sebuah daerah di Johor tetapi ia masih belum meluas ke seluruh negara.

Selepas majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merasmikan Dewan Masyarakat Parit 23 di Tanjung Bayan, Perak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram