KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru-baru ini mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.
Perkara itu sekali gus membuktikan betapa pengajian akademik negara kini berada di laluan terbaik untuk terus menghasilkan pencapaian cemerlang dalam kalangan pelajar sekolah.
Namun, di sebalik kejayaan diperoleh ribuan pelajar SPM baru-baru ini, timbul pula kerisauan berkaitan cabaran perlu ditempuhi mereka di alam pekerjaan kelak.
BACA LAGI: Teknologi AI dalam kehidupan harian, ketahui pandangan Islam
BACA LAGI: Perkembangan masa depan AI: Trend dan implikasinya
Bidang pengajian di peringkat universiti turut berkait rapat dengan isu berbangkit susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berdaya saing kini.
Perkara itu dikongsikan seorang penulis, Helmi Effendy di laman Facebook yang tegas memberi peringatan kepada pelajar lepasan SPM untuk sedar akan cabaran besar menanti kelak.
"Zaman sekarang ni adik-adik, awak bukan bersaing dengan kawan yang dapat straight A je tau, yang akan masuk ke alam universiti, sama ada dalam dan luar negara, tapi awak semua terlepas satu benda.
"Dalam tiga hingga empat tahun lagi akan bersaing dengan AI dik. Ini yang satu dunia tengah runsing. Kalau orang genius macam Elon Musk sign petisyen suruh perlahankan perkembangan AI, rasa-rasanya yang tak berapa genius dan cerdik macam adik yang gagal SPM mampu tak bersaing dengan AI?
"Zaman sekarang, pelayan di kopitiam dengan kedai mamak pun dah diambil kerjanya oleh robot. Apa agaknya landskap negara dan dunia 10 tahun lagi?" katanya.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mendominasi keperluan masyarakat masa kini. — Gambar hiasan
Turut meraih sokongan ramai, warganet rata-ratanya menggesa agar pihak universiti khususnya lebih peka dengan bidang jurusan yang ditawarkan buat pelajar kelak.
Ketika ini, bidang pengajian AI dikatakan agak terhad di peringkat universiti dan ia sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang masa depan individu lepasan SPM itu.
"Perkara yang perlu difikirkan oleh pihak universiti agar bidang ditawarkan sesuai dengan peredaran zaman," kata Si Abang Long.
"Bidang kejuruteraan, software dan AI amat terhad di IPTA, hanya di peringkat asasi dan sains komputer sahaja ada," ujar Syam Hassan.
"Dan kesilapan besar remaja sekarang ialah diorang ingat segala macam media sosial serta kerja pempengaruh ini akan bertahan lama. Mereka tak pernah menyaksikan bagaimana teknologi baharu serta trend yang tak ramai terfikir, menggantikan teknologi sedia ada," tambah Muhammad Auzaei.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menerusi laporan Berita Harian berkata, seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.
Katanya, bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023, turut menunjukkan peningkatan, iaitu seramai 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram