PERKESO prihatin kebajikan pekerja hidap masalah kesihatan mental


  • Massa
  • Isnin, 03 Jun 2024

PERKESO komited dalam membantu pekerja yang menghidap penyakit kesihatan mental. — Gambar hiasan

PERKESO sentiasa komited membantu golongan pekerja dengan gangguan kesihatan mental untuk pulih dan kembali bekerja lebih awal secara sihat dan selamat.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Azirruan Arifin berkata, Return To Work (RTW) merupakan projek rintis bermula pada 2005 dan telah dilaksanakan sepenuhnya pada 2007.

"Kini, seramai 192 pengurus kes terlatih telah bekerjasama dengan pemegang taruh dan pelbagai rakan strategik dalam usaha untuk memperkasa peserta program RTW agar kembali bekerja dengan sihat dan selamat," ujar Azirruan.

Menurutnya, menerusi program RTW, ia juga dapat memberi manfaat kepada golongan pekerja yang berdepan masalah kesihatan mental melalui pelbagai bantuan disalurkan.

"Ini termasuklah rehabilitasi intensif (fizikal, psikologi dan mental), sokongan psikologi, pembekalan peralatan pemulihan, penilaian dan rundingan bersama majikan bagi pengekalan pekerjaan dan penempatan pekerjaan.

"Selain itu, program ini juga membawa faedah kepada golongan majikan.

"Antaranya ialah, pengurangan tempoh cuti sakit pekerja agar kembali bekerja dengan cepat dan selamat, pengekalan pekerja berpengalaman dan berkemahiran, konsultasi berkaitan modifikasi pekerjaan atau persekitaran kerja yang kondusif, penilaian Functional Capacity Evaluation (FCE) dan kawalan terhadap kos latihan serta keperluan pengambilan pekerja baharu," jelasnya.

FFE

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Azirruan Arifin.

Beliau dalam pada masa sama turut menyatakan cabaran perlu dihadapi dalam memastikan keberkesanan program tersebut.

"Pertama, golongan majikan yang ragu-ragu akan keupayaan pesakit mental dalam melakukan tugasan. Mereka bimbang terhadap potensi pesakit mental berulang yang mungkin membahayakan orang sekeliling ataupun pesakit itu sendiri.

"Kedua, pesakit mental berdepan perasaan malu atau takut berdepan dengan masyarakat. Ada juga pesakit yang tidak mematuhi jadual pengambilan ubat disarankan doktor serta gagal menghadiri janji temu susulan atau berkala bersama doktor yang merawatnya.

"Lebih teruk apabila ahli keluarga sendiri tidak memberi sokongan moral kepada pesakit mental," ujarnya.

Program RESTART

Di bawah program Re-Employment Support, Treatment and Rehabilitation Teamwork (RESTART), PERKESO menyediakan perkhidmatan berkualiti yang menggalakkan pemulihan untuk pekerja mengalami gangguan mental agar mereka boleh menyumbang sepenuhnya dan memainkan peranan dalam masyarakat.

Ia juga bertujuan mengembalikan hak pesakit mental sebagai individu yang berhak diberikan peluang untuk bekerja, selain mempromosi kesihatan mental yang baik dan membantu mereka berdikari daripada segi fizikal, mental, spiritual serta ekonomi.

"Program RESTART juga berperanan membantu pekerja yang telah disahkan menghidap gangguan mental, untuk menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di hospital bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Antara pesakit yang dibantu ialah pesakit skizofrenia, kecelaruan bipolar, kemurungan, penyakit kerisauan serta sindrom organik otak.

"Pekerja yang diambil menerusi program tersebut perlulah berusia antara 18 hingga 50 tahun, tiada gejala penyakit akut dan berminat untuk bekerja," katanya.

Secara umumnya, program RESTART melibatkan usaha sama antara program RTW, perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di bawah KKM dan Cawangan Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Berikut merupakan antara perkongsian bekas pesakit mental yang menerima bantuan PERKESO.

satuu

Kisah 1

Seorang pesakit dikenali sebagai Nurul, 25, dari Pahang disahkan menghidap kemurungan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Selepas pesakit dirujuk oleh pakar psikiatri bagi bantuan pencarian pekerjaan oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Nurul telah dibantu dalam penyediaan resume, padanan pekerjaan dan kaunseling kerjaya.

Kini, dia berjaya kembali bekerja dalam bidang sektor makanan dan minuman di Kuantan.

duaa

Kisah 2

Kim, 48, dari Pulau Pinang disahkan menghidap skizofrenia telah kembali bekerja dalam tempoh yang singkat.

Berdasarkan intervensi PERKESO pada 25 Mei 2022, dia telah dirujuk untuk aktiviti pencarian pekerjaan di bawah program RTW.

Dua hari selepas itu iaitu pada 27 Mei 2022, Kim telah diterima bekerja di sebuah kedai serbaneka dan penilaian tempat kerja dilakukan pada 23 Jun 2022 bersama majikan yang turut memberikan kerjasama.

Malah, pesakit itu juga mendapat sokongan pekerjaan menerusi aktiviti Workplace Support Intervention (WSI) serta pemantauan berterusan bagi memastikan pesakit mampu bekerja secara berdikari.

tigaa

Kisah 3

Pesakit bernama Sya, 25, dari Wilayah Persekutuan Putrajaya disahkan menghidap Bipolar Jenis 2 dan Kecelaruan Personaliti Pinggiran.

Dia telah mendapat rawatan di Klinik Psikiatri Hospital Kajang, Selangor.

Selepas dirujuk oleh doktor pengurusan hilang upaya dan pencarian pekerjaan pada 12 Februari 2022, Sya kemudiannya dirujuk ke Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Akhirnya, dia berjaya bekerja sebagai pendidik di salah sebuah pusat asuhan di Putrajaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram