KEBELAKANGAN ini istilah Artificial Intelligence (AI) kerap digunapakai tidak mengira sama ada menerusi aplikasi perniagaan, pendidikan, mahupun sebaran maklumat.
Boleh dikatakan perkembangan dunia digital yang semakin pesat membuatkan masyarakat sentiasa cuba untuk menghasilkan perubahan terhadap teknologi maklumat.
Disebabkan itu timbul pelbagai persoalan terhadap penggunaan perkara itu dalam kalangan umat Islam selain impaknya kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, sebarang perkembangan dalam teknologi termasuk AI perlu dilihat dari sudut yang neutral dan tidak meletakkan sebarang sangkaan awal tanpa memahaminya terlebih dahulu.
"Teknologi AI mestilah tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan kepada orang lain, atau hanya memanfaatkan diri sendiri tetapi mendatangkan kemudaratan atau kesusahan kepada orang lain. Kayu ukur kemudaratan dan kemanfaatan adalah lima teras maqasid syariah (pegangan berdasarkan ALLAH dan rasul).
"Ini antara prinsip penting dalam penggunaan dan pelaksanaan AI. Sebarang isu ataupun risiko yang jelas berkaitan AI perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita melihat kepada pelbagai manfaat yang bakal diperoleh. Perkara ini menjadi lebih penting apabila berlaku pertembungan antara mafsadah dan maslahah.
"Apabila wujud kemudaratan berkaitan maqasid syariah pada satu-satu teknologi melibatkan AI, wajib ia ditinggalkan atau digantikan dengan alternatif lain yang menepati syarak," terangnya.
Teknologi digital membuka cabang baharu kepada pembangunan AI.
Hukum mencipta imej model menggunakan AI
Mencipta gambar model dengan menggunakan AI berkait rapat dengan hukum melukis gambar makhluk bernyawa atau manusia.
Berkenaan hal ini, ilmuan Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menimbulkan persoalan mengenai hukum gambar-gambar dan lukisan seni yang dilukis di atas kertas lukisan, kain kanvas, tirai, dinding, permaidani, mata wang dan sebagainya.
Kemudian, beliau menyebutkan masih tidak jelas kecuali kita lihat dan kaji apa tujuan gambar tersebut dicipta, di mana ia diletakkan dan apa kegunaannya. Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan pelukis apabila melukis gambar itu.
"Saya berpandangan, jika gambar yang dihasilkan oleh prompter itu adalah gambar melibatkan elemen ketuhanan agama-agama lain dan seumpamanya dengan tujuannya untuk disembah selain daripada ALLAH, maka orang yang melakukan bagi tujuan dan niat tersebut dianggap berdosa besar kerana terlibat dalam urusan agama-agama lain," terangnya.
Dalam pada itu, terdapat juga tiga cadangan yang disyorkan oleh Zulkifli kepada pihak kerajaan bagi pertimbangkan dengan segera sekali gus memberikan lebih pencerahan kepada masyarakat tentang penggunaan AI secara menyeluruh.
Cadangan perkembangan AI
Mencadangkan kepada pihak kerajaan agar mengambil cakna dan keprihatinan yang sungguh berkenaan dengan perkembangan AI pada masa kini.
Perkembangannya begitu drastik dan mempunyai potensi besar sebagai penyumbang ekonomi yang terbesar pada masa akan datang.
Garis panduan
Pembinaan garis panduan AI sesuai dengan budaya setempat, adab dan akhlak yang selari dengan neraca syarak.
Peranan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (MKI) amat diperlukan sebagai panduan bagi para Mufti mendapat gambaran yang menyeluruh tentang hal ini dan bersedia dengan lebih awal dari sudut hukum-hakam.
Penggunaan AI semakin diterima dalam kalangan masyarakat tidak mengira sama dalam urusan pekerjaan atau aktiviti harian.
Undang-undang
Penggubalan undang-undang secara khusus yang terkait dengan AI sama ada isu hak cipta atau harta intelek.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mempunyai kepakaran secukupnya untuk meneliti isu ini.
Lokasi strategik
Cyberjaya pernah dilihat sebagai satu tempat strategik pembangunan Lembah Silikon Malaysia.
Pun begitu, mungkin ada alasan-alasan tertentu mengapa ia seakan tidak diteruskan dengan baik. Pembentukan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang menggabungkan dua agensi di bawah Kementerian Sains, Teknlogi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Technology Park Malaysia Corporation (TPM) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) berpotensi menyumbang kepada usaha memperkasa agenda pemangkin pengkomersialan teknologi negara terutamanya dalam AI. - Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram