Ibu bapa Zayn Rayyan direman seminggu bantu siasatan Seksyen 302 KK kerana disyaki membunuh


  • 112
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Zayn Rayyan dilaporkan dibunuh selepas ditemui mati di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada Disember tahun lalu.

POLIS menahan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang dibunuh di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor, pada Disember tahun lalu.

Pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Sabtu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Azura Mohd Saad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut laporan Sinar Harian, mereka ditahan di Puncak Alam, Selangor kira-kira pukul 11 pagi Jumaat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

BACA LAGI: Kes bunuh Zayn Rayyan, polis kumpul DNA 228 penduduk Apartment Idaman

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

Untuk rekod, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pukul 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram