SEORANG pendaki rakyat Malaysia dilaporkan maut selepas terkandas selama tiga hari berhampiran puncak gunung tertinggi di Amerika Utara pada Jumaat malam.
Dua lagi pendaki walau bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan penyelamat di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia menerusi kenyataan di Facebook berkata, mangsa disahkan meninggal semasa berlindung di 'snow cave' di kawasan dikenali sebagai 'Football field' pada ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.
BACA LAGI: Pendaki kongsi pengalaman diusik atau disorok ketika hiking, camping waktu malam, apa persediaannya?
BACA LAGI: [VIDEO] Pendaki Taiwan tahan sakit 4 jam, bengkak pinggul lepas terjatuh di Gunung Kinabalu
"Dukacita kami maklumkan bahawa Zulkifli Yusuf, 37, telah disahkan meninggal dan punca kematian disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui post mortem.
"Manakala seorang lagi pendaki, Illaham Ishak telah diselamatkan beberapa hari lepas dan kini di rawat di hospital di Anchorage Alaska dan terkena 'frostbite' di tangan dan kaki," katanya.
Zulkifli Yusuf, 37, (tengah) disahkan maut selepas terkandas di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat.
Mangsa yang selamat berjaya dikeluarkan dengan helikopter kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) selepas terkandas berhampiran puncak gunung itu sejak 28 Mei lalu.
Pihak Taman Negara Denali dalam kenyataan medianya memaklumkan, mangsa dipindahkan dari lokasi dia dilaporkan terkandas pada ketinggian 5,974 meter, berhampiran puncak gunung tertinggi benua Amerika Utara itu.
Menurut pendaki yang diselamatkan, rakannya telah meninggal dunia di gua salji tempat mereka berlindung kira-kira dua hari lalu.
Untuk rekod, tiga pendaki rakyat Malaysia, Muhammad Illaham Ishak, 47, Zainudin Lot, 47 dan Zulkifly Yusuf 37, menghantar isyarat kecemasan setelah seorang daripada mereka dilaporkan cedera di kaki dan terkandas di kawasan dikenali sebagai 'Football Field' kira-kira 200 meter dari puncak Denali pada 28 Mei lalu.
Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia, Muhammad Illaham diselamatkan setelah dia turun ke kem 5 untuk meminta bantuan dan dibawa ke hospital.
Tiga pendaki berpengalaman itu termasuk Muhammad Illaham dan Zainudin adalah pendaki negara yang berjaya menakluk gunung Everest pada 2013 sebelum menyertai pendakian ke Denali sejak 12 Mei bagi melengkapkan cabaran tujuh puncak tertinggi di tujuh benua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram