Bulu kucing melekat di sejadah, pakaian, ketahui syarat sah solat


  • Mukmin
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Solat seseorang masih sah jika terdapat bulu kucing yang melekat pada pakaian. — Gambar hiasan

KUCING atau panggilan lain si bulus sememangnya menjadi salah satu haiwan peliharaan kesayangan yang boleh dijadikan sebagai penghibur di kala kesunyian.

Ada orang lebih suka untuk membela kucing di dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah, tetapi ada juga individu yang lebih gemar untuk membela di dalam rumah.

Apabila kita membela banyak kucing, pasti timbul masalah apabila terdapat banyak bulu kucing di merata tempat.

Apatah lagi, apabila seseorang tertarik untuk menjaga kucing dalam jumlah yang banyak seperti 30 ekor.

Susulan itu, timbul pula kemusykilan mengenai hukum solat jika terdapat bulu kucing melekat pada pakaian mahu pun sejadah.

BACA LAGI: 'Ada bayi lahir besar melampau cecah 5kg', ketahui risiko ibu hidap diabetes semasa hamil

242976627_1713498095524380_348985439183247994_n

Jika badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah. — Gambar hiasan

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang pengguna, Nur Shakirah Azman menyuarakan mengenai kemusykilan yang bermain di pemikirannya.

"Kalau kita tengah solat dan kucing datang dekat kita dan ada bulu kucing melekat di telekung. Adakah dikira najis?, tulisnya.

Bercakap soal itu, Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron tampil menjelaskan bahawa bulu kucing adalah najis yang dimaafkan.

"Kucing adalah binatang peliharaan dan sukar untuk dikawal bulunya merata-rata di sekitar rumah.

"Jika badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah dan tidak menjadi masalah, " katanya kepada Majoriti.

Mohamad Sabri turut memetik sebuah hadis Nabi S.A.W:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya : “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.” [HR al-Tirmizi (92)]

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor

94203538_133376581598799_6715317229996474368_n

Ada masanya si comel suka mengganggu tuannya semasa mengerjakan ibadah kepada ALLAH. — Gambar hiasan

Namun, kita tidak boleh membiarkan kucing berada di riba semasa solat dalam tempoh masa yang lama.

"Syarat sah solat tidak boleh menanggung najis, jadi kalau kucing berada di pangkuan riba dalam tempoh lama perlu dielakkan.

"Namun, kalau kucing hanya berlegar di sekitar badan dalam tempoh yang tidak lama maka solat masih sah," katanya.

Selain bulu kucing, Mohamad Sabri berkata, ada perkara lain yang perlu dititikberatkan seperti tahi cicak.

"Orang kalau ternampak tahi cicak ketika mahu menunaikan solat, wajib buang kalau tidak berdosa, tetapi mereka tidak perlu mengambil wuduk semula kerana ia tidak membatalkan wuduk. Bersihkan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, jika kita tidak sengaja atau tidak perasan bahawa terdapat tahi cicak di anggota tubuh badan, maka situasi itu dimaafkan.

"Contohnya, orang itu duduk di kawasan yang memang banyak tahi cicak dan terkena kita, dimaafkan kerana kesukaran untuk mengatasinya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram