KES penderaan haiwan kian berlarutan dan meruncing kebelakangan ini dengan perkara itu didakwa masih gagal dibendung dalam kalangan masyarakat tidak bertanggung jawab.
Terbaharu, tular satu video memaparkan seekor kucing yang diikat dan dihanyutkan di sungai yang kotor tanpa belas kasihan.
Saling tidak tumpah kelihatan seperti bungkusan sampah yang dibuang merata, tiada siapa yang menyangka bahawa di sebalik ikatan itu terdapat seekor kucing hitam yang hampir mati di sebatang sungai yang tidak diketahui lokasinya setakat ini.
Hangat diperkatakan warganet di laman Facebook, rakaman itu menerima lebih 16,000 jumlah tontonan.
Berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki dipercayai nelayan di kawasan tersebut, kucing berkenaan kemudiannya dibebaskan dan dilihat dalam keadaan lemah dalam video tersebut.
Mengulas lanjut berkenaan hal itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid atau mesra dengan panggilan Pak Khalid kecewa dengan sikap segelintir pihak yang didakwa tidak berperikemanusiaan dan zalim terhadap haiwan terutamanya kucing.
Menurutnya, isu seperti ini bukan perkara baharu namun masih menjadi amalan sesetengah individu yang suka berpelakuan kejam terhadap kucing tanpa sebab munasabah.
"Saya memang maki sekeras-kerasnya bila ada isu yang macam ini, sepatutnya si pelaku ditangkap dan dipenjarakan seumur hidup kerana buat macam itu.
"Memang ada banyak kes yang saya terima sebelum ini, semuanya berakhir di lokap dan saya tidak teragak-agak untuk mengarahkan pasukan saya untuk menjalankan siasatan berkaitan video tular tersebut.
"Berhenti aniaya kucing atau anda kami penjarakan, kami memang memandang serius isu penderaan haiwan dan selalu terima aduan daripada masyarakat jika ada yang kongsikan maklumat," ujarnya kepada Majoriti.
Pak Khalid yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatan Kuasa di Lembaga Kebajikan Haiwan Malaysia (LKHM), turut menggesa agar orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membuat aduan di laman sosial Facebook LKHM.
"Kalau ada kes-kes macam ini, orang ramai sila buat aduan segera kepada pihak kami supaya tindakan keras dapat diambil.
"KKM dan LKHM memang aktif dalam memelihara nasib haiwan dan kucing di luar sana jadi memang tanggungjawab kami bila ada isu seperti ini," katanya.
Sehingga kini masih belum ada sebarang maklumat lanjut berkaitan kes tersebut namun kucing tersebut dilaporkan masih hidup dan berjaya diselamatkan oleh lelaki terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram