[VIDEO] Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai RM12.8 juta dalam 2 serbuan berasingan di Johor


  • 112
  • Khamis, 30 Mei 2024

Pihak JKDM menunjukkan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Johor. — The Star

SATU sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras berjumlah RM12.8 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi dua serbuan berasingan di Johor pada Februari dan Isnin lalu.

Sebanyak tiga kenderaan ditahan pihak penguat kuasa termasuk dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam serbuan pada Isnin lalu.

Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui 4,222.56 liter minuman keras pelbagai jenama yang ditutupi dengan kain berwarna hitam bernilai RM203,603 termasuk cukai.

BACA LAGI: [VIDEO] Sindiket seludup PATI tumpas, 7 warga Bangladesh ditahan di KL

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan Dhaka, warga Bangladesh selamba meniaga sirih tepi jalan siap pasak khemah di 2 lokasi panas di Lembah Klang

Katanya, pemandu kenderaan melarikan diri semasa serbuan dijalankan dan pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang dokumen cukai dijumpai.

"Ketiga-tiga kenderaan tersebut disita dan dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (E) Akta Kastam 1967," katanya menurut laporan Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, dalam serbuan lain di sebuah gudang di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, sebanyak 15,170,00 batang rokok pelbagai jenama dan 33,835 liter minuman keras membabitkan cukai keseluruhan berjumlah RM12,593,550 berjaya ditemukan penguat kuasa.

Menurutnya, serbuan diadakan pada 28 Februari lalu itu dilakukan selepas penguat kuasa mengesan sebuah gudang yang tidak mempunyai papan nama disyaki menjadi lokasi penyimpanan barang penyeludupan.

Hasil pemeriksaan dijalankan berjaya menjumpai kesemua barang penyeludupan terbabit yang turut disorokkan dalam dua buah lori serta sebuah kontena.

"Kesemua barang dijumpai disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram