SATU kemalangan membabitkan lima penunggang motosikal dilaporkan berlaku selepas mangsa melanggar serpihan tayar lori pecah di Kilometer 190.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Jasin, Melaka pada awal pagi Khamis.
Salah seorang daripadanya, Mohd. Afirzul Hamzah, 35, disahkan maut di lokasi kejadian manakala empat lagi penunggang cedera dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 1.50 pagi itu.
Empat yang lain, Zakrul Ariffin Minhat, 20, dimasukkan ke zon merah, manakala Muhammad Zarif Zufayri Mazli, 23, patah bahu kanan dan Muhammad Nur Aiman Kamil, 23, serta Ahmad Farhan Fikri Abd. Khalid, 28, mengalami luka-luka dan cedera di kepala.
BACA LAGI: [VIDEO] Letak serpihan kaca dekat tayar taktik terkini penyamun, 'single driver' diminta waspada
BACA LAGI: Bukan kali pertama, ada lagi kes 'bertumbuk' babitkan pengawal VIP
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan berkonvoi bersama 16 penunggang yang lain dari Melaka menuju ke Johor.
"Setiba di lokasi, empat penunggang terbabas setelah melanggar serpihan tayar lori yang pecah.
"Akibat kemalangan itu, seorang daripadanya maut, manakala empat lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Jasin menggunakan ambulans," katanya menurut laporan Kosmo.
Tambahnya, kumpulan itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengadakan program makan di sebuah restoran di Simpang Ampat, Melaka.
"Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati lokasi nahas tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram