TINDAKAN sekumpulan lelaki warga asing dipercayai berasal dari Bangladesh menjalankan perniagaan menjual makanan di sekitar ibu kota mendatangkan kemarahan netizen.
Berdasarkan video tular di laman X (Twitter) pada Ahad, aktiviti tersebut difahamkan beroperasi di dua lokasi iaitu di Jalan Silang, Kuala Lumpur dan Taman Taming Jaya, Balakong, Selangor.
Mereka dipercayai menjual hidangan makan sirih berapi, yang merupakan salah satu makanan jalanan yang terkenal di India.
"Warga asing boleh meniaga sirih tepi jalan secara terbuka dan siap ada khemah lagi," ciapnya.
BACA LAGI: Pemandu panas punggung, hadap jem 8 hingga 12 jam andai balik beraya Ahad
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam perbuatan warga asing berkenaan yang bertindak sesuka hati di negara orang.
"Tempat banyak kotor disebabkan orang yang makan sirih ni suka meludah merata-rata. Mereka dah buat Malaysia ni macam tempat sendiri," kata @Tunasia.
"Kenapa dengan negara kita ini? Alahai sedihnya, warga asing pijak-pijak saja rakyat Malaysia ni," tulis @ainftyha.
Dalam pada itu, tidak kurang juga yang berpandangan bahawa tabiat memakan daun sirih dan buah pinang sebenarnya boleh mengundang bahaya.
"Sirih setahu saya sama seperti tembakau. Nikotin yang ada dalam makanan tersebut boleh menyebabkan ketagihan. Pengambilan yang berlebihan menjadi risiko kepada kanser," kata @amiraasliayana.
"Penat-penat doktor gigi beritahu jangan makan sirih sebab ia adalah ejen utama kanser mulut," ujar @DrAFKam.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram