ZAMAN kini, teknologi dalam pelbagai perkara sudah semakin maju baik dari segi penciptaan barangan, kelengkapan rumah dan kenderaan.
Dalam pembuatan kenderaan, pelbagai kereta kini mempunyai kemajuan dengan semakin banyak model dilengkapi kemudahan pandu sendiri atau cruise control.
Jenama Tesla misalnya merupakan pelopor dalam kenderaan yang bercirikan sebegini. Walaupun ciri tersebut kelihatan gah, tetapi ia tetap mempunyai kelemahannya.
BACA LAGI: Setahun tak bayar yuran kondo, artis wanita Taiwan 'kantoi' koyakkan notis di CCTV
BACA LAGI: [VIDEO] Leka kejar bola, budak lelaki 2 tahun 'lunyai' kena golek tayar 4x4
Sebagai contoh, sebuah kenderaan Tesla hampir menyebabkan seorang pemuda bernama Craig Doty II kehilangan nyawa. Kejadian yang berlaku di Ohio, Amerika Syarikat menyaksikan kenderaan tersebut hampir membunuhnya.
Dalam rakaman yang tular, Doty sedang menaiki kenderaannya dengan menggunakan mod Full Self-Driving (FSD). Namun begitu, malang begitu hampir menghampirinya apabila dia ingin melintasi landasan kereta api.
Kenderaan tersebut bagaimana pun tidak berhenti di landasan tersebut walaupun ketika itu terdapat kereta api yang sedang meluncur laju.
Menyedari nyawanya dalam bahaya, Doty kemudiannya terus mengawal kenderaannya itu lalu membawanya ke tepi bagi menyelamatkan diri.
Disebabkan itu, kenderaan Doty mengalami kerosakan di bahagian depan serta tayar turut terjejas.
Kerosakan dialami Tesla milik Doty. — Agensi
Menurut Doty, dia mengatakan insiden tersebut telah berlaku beberapa kali. Tetapi kerana tidak berlaku terlalu kerap, Doty berasakan sistem pandu sendiri itu selamat.
"Selepas menggunakan sistem FSD itu untuk beberapa ketika, saya ada kecenderungan untuk mempercayainya kerana ia berfungsi dengan baik.
"Kenderaan akan bergerak perlahan apabila menghampiri kenderaan lain yang bergerak perlahan di depan hinggakan ia berhenti sendiri, memaksa kita untuk mengawalnya.
"Kelekaan sebegini boleh berlaku kerana selalunya sistem ini tiada masalah, jadi bila ia terjadi pasti akan timbul kerisauan," kata Doty.
Kejadian yang menimpa Doty itu bukanlah kes terpencil. Untuk rekod, model Tesla jenis Y, X dan S antara yang kerap menerima aduan kerana perkara ini.
Di Amerika Syarikat, 17 maut serta 736 kes dilaporkan akibat perkara ini.
Doty cuba untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tesla akibat insiden menimpanya tetapi sukar untuk menemui peguam yang sanggup mewakilinya.
Hal ini kerana, majoriti peguam berpendapat Doty tidak mengalami kecederaan serius sewaktu kejadian itu dengan dia cuma sakit belakang dan lebam-lebam di badan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram