[VIDEO] Sindiket seludup PATI tumpas, 7 warga Bangladesh ditahan di KL


  • 112
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Seramai tujuh pendatang tanpa izin warga Bangladesh ditahan dalam serbuah imigresen ke atas sebuah kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat. — Facebook/JIM

JABATAN Imgiresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan tujuh individu terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh dalam satu operasi khas di sebuah premis kediaman dekat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Pengarah JIM, Dato Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pukul 7.02 malam itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu suspek secara mencurigakan di lot parkir kawasan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia terjatuh kapal di perairan Bangladesh, rakan sekerja mohon doa semua

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan Dhaka, warga Bangladesh selamba meniaga sirih tepi jalan siap pasak khemah di 2 lokasi panas di Lembah Klang

"Suspek kemudiannya dilaporkan mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas dan seorang lelaki warganegara Bangladesh disyaki sebagai ‘transporter’ berusia lingkungan 33 tahun serta dua PATI turut ditahan.

"Kesemua premis kediaman telah diperiksa dan lima PATI warganegara Bangladesh ditahan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan, berusia antara 21 hingga 38 tahun dengan jumlah keseluruhan ditahan adalah seramai lapan orang.

Sebanyak 10 pasport Bangladesh, tiga unit telefon pintar, wang tunai sebanyak RM500 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan untuk mengangkut warga asing telah dirampas dalam operasi tersebut.

"Modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI terutamanya warganegara Bangladesh yang ingin mencari peluang pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam dan dari Vietnam, PATI akan dibawa menaiki kereta ke Thailand.

"Mereka kemudiannya akan dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ terdiri daripada warga tempatan akan membawa PATI ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail dengan menaiki kereta.

"PATI akan dihantar ke lokasi yang dipilih setelah selesai membuat bayaran kepada agen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia," katanya.

,,

Seorang suspek disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan warga Bangladesh ditahan imigresen di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat. — Facebook/JIM

Jelasnya, sindiket itu mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang PATI dan telah beroperasi selama dua bulan.

Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala warganegara asing yang lain ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta ATIPSOM 2007.

Kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram