PENGAWAL keselamatan peribadi lazimnya dilantik bertujuan melindungi golongan tertentu daripada sebarang ancaman mahupun situasi berbahaya.
Namun, kebelakangan ini kerap timbul isu pergaduhan atau boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah membabitkan individu berkenaan.
Terbaharu, salah seorang pengiring kerabat diraja disiasat atas dakwaan menyerang seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur pada Selasa.
Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala sebaik diminta untuk mengalihkan kenderaannya.
Namun, mangsa dilaporkan telah menarik balik laporannya dan ingin menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik, serta tidak mahu memanjangkan kes.
Dalam pada itu, terdapat tiga lagi kes serupa membabitkan pengawal peribadi didakwa bergaduh dengan orang awam sebelum ini.
1. Kes tembak pengawal di KLIA
Seorang pengawal peribadi cedera parah selepas ditembak lelaki yang nekad melepaskan tembakan ke arah isterinya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada 14 April lalu.
Suspek, Hafizul Hawari, 38, dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.
Bagaimanapun, salah satu das tembakan itu mengenai mangsa, Muhammad Nur Hadith Zaini, 37, dan suspek ditahan di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan selepas 36 jam melarikan diri.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa tujuh anak itu didakwa melakukan cubaan bunuh terhadap isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Hadith Zaini dengan menggunakan senjata iaitu pistol yang boleh menyebabkan kematian.
2. Pengawal peribadi belasah rider e-hailing
Pada 30 November 2020, masyarakat digemparkan dengan kes pergaduhan membabitkan seorang pengawal peribadi dan penghantar makanan di sebuah kondominium dekat Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.
Kejadian itu difahamkan berpunca selepas mangsa, Jasmady Jasman, 27, meminta pengawal peribadi tersebut turun untuk mengambil pesanannya di bawah akibat tidak dibenarkan untuk naik ke atas.
Suspek, Saiful Shazni Hanif, 33, yang tidak berpuas hati dengan permintaan itu kemudiannya telah bertindak memaki sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.
Kedua-duanya didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kajang selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.
3. Perbalahan 'bodyguard' Datuk Malik dengan ustaz Sophian
Pengerusi Persatuan Kebajikan SurPlus Pulau Pinang (SurPlus), Sophian Mohd Zain bersama beberapa ahli lain didakwa berbalah mulut dengan pengawal peribadi kepada Abdul Malik Dasthigeer atau lebih dikenali sebagai Datuk Malik.
Abdul Malik Dasthigeer didakwa telah membuat kekecohan terhadap pasukan Surplus yang pada ketika itu dikatakan sedang membuat serbuan warga asing di beberapa premis di Kuala Lumpur.
Dato Malik ‘penjaga’ warga Bangla dan Rohingya
Malik - Saravanan - Kementerian Sumber Manusia - Permit Kerja - #KartelSara pic.twitter.com/CMSuek4DRk
— HRDC Insider (@KerajaanInsider) December 24, 2023
Dalam video sama, Sophian juga dilihat memarahi pengawal peribadi itu namun punca sebenar kejadian masih tidak dapat dipastikan lagi.
Menerusi ciapan yang dikongsikan @KerajaanInsider, Datuk Malik didakwa ada kaitan dengan warga asing yang bekerja di situ apabila dia dikatakan memiliki hubung kait dengan proses pengeluaran permit kerja terhadap mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram