[VIDEO] SPRM lanjutkan tempoh pengisytiharan harta 2 anak Tun M


  • Primer
  • Rabu, 29 Mei 2024

Dari kanan: Mokhzani, Mirzan dibenarkan untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta masing-masing.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju membenarkan tempoh lanjutan pengisytiharan harta dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, peguam yang mewakili Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir sudah berhubung dengan pegawai penyiasat kes mengenai tempoh pengisytiharan tersbeut.

“Kita telah tetapkan tempoh tarikh mereka mula-mula kena isytiharkan, jadi kita sudah bersetuju dengan itu," katanya memetik laporan Buletin Utama pada Rabu.

BACA LAGI: Tun M dakwa SPRM masih belum arahkan untuk isytihar harta

BACA LAGI: Pelajar universiti asal Kelantan maut jatuh dari balkoni hotel ketika bercuti bersama teman lelakinya di Tanjung Bungah

Malaysian Anti-Corruption Commission deputy chief commissioner (operation) Datuk Seri Azam Baki.MOHD SAHAR MISNI/The Star

Azam Baki

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM-ITBM (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, pada Rabu.

Bagaimanapun, tempoh lanjutan tersebut masih belum didedahkan pihak SPRM secara lebih terperinci.

Media pada Selasa melaporkan, SPRM masih belum menerima notis pengisytiharan harta daripada Mokhzani dan Mirzan.

Azam dalam pada itu turut mengesahkan berlaku perbincangan melibatkan SPRM dan peguam mereka.

Pada 26 April lalu, kedua-dua anak Dr Mahathir itu diberikan tempoh lanjutan 30 hari lagi untuk mengikrarkan aset masing-masing kepada SPRM.

Dilaporkan pada 18 Januari lalu, kedua-dua ahli perniagaan itu diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram