KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan kewujudan campur tangan atau pengaruh luar berhubung pertukaran pengetua di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) berstatus elit di Ipoh, Perak.
KPM dalam satu kenyataan kepada Majoriti memaklumkan, pemindahan pengetua SBP di Teluk Intan bagi menggantikan pengetua di SBP di Ipoh yang meninggal dunia baru-baru ini adalah keputusan Jawatankuasa Carian Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP).
"Tiada sebarang campur tangan atau pengaruh luar dalam apa jua situasi. Keputusan dibuat demi kelangsungan pendidikan di SBP," katanya pada Sabtu.
BACA LAGI: KPM tambah warden 63 peratus, laksana sistem rumah di asrama atasi kes buli
BACA LAGI: Badan penuh lebam, Muhd Nazmie Aizat maut kena belasah dalam asrama kolej vokasional di Lahad Datu
Sekolah SBP elit di Ipoh, Perak dikatakan menggunakan sistem dua darjat dalam proses pertukaran pengetua. — Gambar hiasan
Majoriti pada Khamis melaporkan, pertukaran pengetua SBP di Teluk Intan ke SBP di Ipoh didakwa berlaku atas pengaruh badan tertentu yang ada kaitan dengan sekolah tersebut.
Difahamkan, situasi itu bukan kali pertama berlaku sehingga ia mendatangkan kekecewaan kepada ramai ibu bapa.
Apatah lagi, lebih merunsingkan mereka, SBP di Teluk Intan itu sudah berganti lebih tiga orang pengetua dalam tempoh tiga tahun.
Seorang bapa, Al-Abror Mohd Yusuf meluahkan rasa kurang berpuas hati terhadap situasi itu kerana menganggap ia berat sebelah apabila pertukaran tersebut dibuat dengan mudah seolah-olah tiada garis panduan.
Dia juga menggesa pihak KPM memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram