Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi iktiraf negara Palestin


  • Benua
  • Rabu, 29 Mei 2024

Sepanyol, Ireland dan Norway pada Selasa mengiktiraf negara Palestin secara rasmi. — Agensi

SEPANYOL, Ireland dan Norway pada Selasa mengiktiraf negara Palestin secara rasmi dalam keputusan terkoordinasi yang diselar oleh Israel sebagai 'ganjaran' untuk Hamas.

Selepas lebih tujuh bulan menghadapi konflik yang dahsyat di Gaza, ketiga-tiga negara Eropah berkenaan percaya inisiatif mereka mempunyai kesan simbolik yang kuat hingga boleh menggalakkan pihak lain untuk mengikuti jejak langkah mereka.

Selepas kerajaan Ireland secara rasmi meluluskan langkah tersebut, Perdana Menterinya, Simon Harris berkata, matlamat mereka adalah untuk memastikan harapan keamanan Timur Tengah terus hidup.

BACA LAGI: Malaysia sokong keputusan PBB, pertimbang keanggotaan penuh Palestin

BACA LAGI: AS akur pendirian Malaysia tapi tegaskan bantuan ke Palestin perlu ikut saluran betul

"Kami ingin mengiktiraf Palestin pada akhir proses damai. Bagaimanapun, kami membuat langkah ini bersama Sepanyol dan Norway untuk mengekalkan keajaiban keamanan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares pula mengakui bahawa perjalanan ke arah usaha itu masih panjang, namun negara itu bersedia untuk menempuh bahagiannya dalam laluan menuju keamanan.

Beliau akan menerima menteri luar Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Turkiye di Madrid pada Rabu untuk meraikan pengiktirafan Sepanyol sebagai negara Palestin.

3

Mengiktiraf kenegaraan Palestin mencetuskan perselisihan pendapat dalam 27 negara anggota EU.

Keputusan itu juga mencerminkan penolakan secara terang-terangan Sepanyol terhadap Hamas, yang bertentangan dengan penyelesaian dua negara dan serangan 7 Oktober yang membawa kepada perang Gaza.

Rancangan yang diumumkan pada minggu lalu itu menyebabkan Israel berang dan memburukkan lagi ketegangan diplomatik, khususnya dengan Sepanyol.

Dalam pada itu, Duta Palestin di Madrid, Husni Abdel Wahed, mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga negara kerana mengambil langkah yang sangat penting itu.

Beliau turut menggesa negara Eropah lain agar menyokong penyelesaian dua negara untuk menunjukkan komitmen dan bertindak mengikut nilai mereka.

Mengiktiraf kenegaraan Palestin mencetuskan perselisihan pendapat dalam 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Washington dan kebanyakan negara Eropah Barat berkata, mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin suatu hari nanti, tetapi tidak sebelum persetujuan mengenai isu-isu seperti status Baitulmaqdis dan sempadan terakhir.

Dalam perkembangan sama, korban serangan udara Israel ke atas kem penduduk yang dipindahkan berhampiran Rafah meningkat kepada 45 orang manakala 249 yang lain cedera.

Situasi itu menyebabkan bantahan daripada pemimpin global yang menggesa pelaksanaan keputusan Mahkamah Dunia untuk menghentikan serangan Israel.

1

Perang Gaza masih berlarutan sejak berpuluh tahun dahulu.

Pegawai kesihatan tempatan memaklumkan, kereta kebal Israel terus mengebom kawasan timur dan tengah bandar di selatan Gaza pada Isnin menyebabkan lapan orang terbunuh.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata, serangan itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan pusat pemindahan di barat laut Rafah berhampiran kemudahan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Rakaman daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menunjukkan suasana kelam kabut pada waktu malam, dengan paramedik bergegas ke lokasi serangan dan memindahkan mangsa yang cedera.

Usaha menyelamat terhalang oleh kerosakan akibat perang dan kesan pengepungan Israel, yang menyebabkan kekurangan bahan api yang teruk dan tiada air untuk memadamkan kebakaran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram