11 kali pecah bengkel, restoran penduduk Kepong, 'Geng Ruben' akhirnya tumpas


  • 112
  • Rabu, 29 Mei 2024

Geng Ruben akhirnya tumpas di tangan pihak polis.

KEGIATAN pecah masuk di Kepong, Kuala Lumpur yang dilakukan oleh sekumpulan penyamun dikenali sebagai Geng Ruben akhirnya tumpas kepada pihak polis.

Sekumpulan penyamun yang terdiri daripada enam individu lelaki berusia 28 hingga 38 tahun itu dicekup oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dari 13 hinggalah 28 Mei.

Kesemua enam suspek itu ditahan hasil bantuan risikan yang dijalankan serta bantuan orang ramai.

BACA LAGI: Pengadu OKU tarik balik laporan, anggap kes dipukul pengawal peribadi VVIP hanya salah faham — Polis KL

BACA LAGI: Didakwa serang OKU, polis siasat pengiring TMJ

Sebagai rekod, Geng Ruben memecah masuk 11 rumah di sekitar Kepong dengan pihak polis menerima 15 laporan mengenai kegiatan tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji, modus operandi Geng Ruben tertumpu kepada memecah masuk premis seperti bengkel dan restoran.

Mereka lazimnya akan memecah masuk premis berkenaan pada tengah malam hingga pagi menjelang fajar.

"Aktiviti jenayah yang dilakukan kumpulan ini begitu membimbangkan peniaga dan orang ramai di kawasan berkenaan selepas 15 kejadian pecah premis perniagaan dikesan berlaku dalam tempoh dua bulan. Dalam tempoh sama tahun lalu, hanya tiga kes pecah premis perniagaan dikesan.

"Bertindak atas maklumat siasatan dan risikan yang dijalankan kita dapat memberkas mereka termasuk ketua kumpulan ini dikenali sebagai Ruben berusia 29 tahun yang memiliki 14 rekod jenayah," kata Habibi.

Habibi juga menambah yang ahli Geng Ruben lazimnya akan mengambil kamera litar tertutup (CCTV) premis yang dipecah masuk terlebih dahulu untuk menghapuskan bukti.

Hasil tangkapan dilakukan, pihak polis merampas barangan yang dicuri Geng Ruben seperti alat ganti kereta, komputer riba dan peralatan pecah kedai bernilai hampir RM100,000.

Habibi turut mendedahkan yang penangkapan itu telah menyelesaikan kesemua 11 kes pecah masuk di Kepong dengan pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram