NUTP desak KPM bentang maklumat, punca lebih 10,000 calon tidak duduki SPM 2023


  • Massa
  • Rabu, 29 Mei 2024

KPM memaklumkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir bagi menduduki peperiksaan itu. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) pada Isnin memaklumkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir bagi menduduki peperiksaan itu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, walaupun jumlah itu nampak tinggi namun ia menurun dengan ketara berbanding tahun lalu.

"Pada 2022, seramai 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022.

BACA LAGI: Lebih 10,000 calon tak hadir duduki SPM 2023

BACA LAGI: Beri peluang kedua calon tidak hadir SPM, galakkan ambil kemahiran TVET — KGMMB

Seramai 395,870 calon menduduki peperiksaan SPM 2023.

"Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).

“Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) pada Isnin.

Untuk rekod, seramai 395,870 calon menduduki peperiksaan SPM 2023.

Susulan lebih 10,000 pelajar di Malaysia gagal menduduki peperiksaan kebangsaan utama itu walaupun sudah mendaftar, ramai pihak yang mula menyuarakan pelbagai andaian mengenai keadaan tersebut.

stok3

Pengaruh kurang baik daripada segelintir pempengaruh media sosial berupaya menjadi faktor pendorong calon tidak hadir SPM.

Antaranya termasuk faktor masalah kewangan, kesihatan kronik, berkahwin dan terlibat dengan kemalangan.

Malah lebih parah, pengaruh kurang baik daripada segelintir pempengaruh media sosial berupaya menjadi faktor pendorong calon tidak hadir menduduki SPM.

Sementara itu di Sabah, seramai 984 calon SPM 2023 tidak menduduki peperiksaan itu, antaranya disebabkan sudah berkahwin, bekerja dan meninggal dunia.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin dilaporkan berkata, perkara itu disedari pada hari pertama peperiksaan berlangsung dan diberi perhatian kerana jumlah keciciran menduduki SPM yang tinggi serta membimbangkan.

"Kita dapati ramai yang tidak hadir tapi punca ketidakhadiran itu ada pelbagai faktor, ada yang sudah bekerja, berkahwin dan kembali kepada-Nya (meninggal dunia).

"Itu antara faktor yang kita lihat tapi ada juga yang memang mungkin kurang berminat (menduduki SPM)," katanya memetik laporan Harian Metro pada Isnin.

Melihat perkembangan tersebut, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa agar KPM memberikan pencerahan secara lebih lanjut berhubung calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2023.

Setiausaha Agung Kesatuan NUTP, Fouzi Singon berkata, KPM perlu membentangkan data sama ada mereka yang terlibat merupakan calon sekolah atau persendirian.

nutp

Fouzi Singon berkata, KPM perlu membentangkan data sama ada mereka yang terlibat merupakan calon sekolah atau persendirian.

"Walaupun jumlah 10,000 hanyalah anggaran purata lima orang satu sekolah, punca tidak hadir mungkin disebabkan dia adalah calon persendirian yang bekerja.

"Selain itu, ⁠calon sekolah yang berhenti sekolah akibat tidak minat atau pelajar yang dibuang sekolah akibat masalah disiplin boleh menyumbang pada faktor tersebut.

"Terdapat kejadian yang mana calon sakit, namun tidak melaporkannya kepada pihak sekolah. Isu ini berlaku setiap tahun dengan bilangan yang hampir sama," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut mengenai pelbagai andaian yang berlegar di media sosial, Fouzi menegaskan, isu tersebut tidak perlu dipolemikkan oleh pelbagai pihak termasuk.

"Ini termasuk KPM sendiri yang sepatutnya sudah sedia maklum akan punca berlaku perkara ini.

"Sukar untuk selesaikan (isu calon tidak hadir SPM) namun jumlahnya boleh dikurangkan jika kementerian tahu siapa golongan terlibat. Data jenis ini perlu dibentangkan oleh KPM," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram