KESEMUA 10,160 pelajar yang tidak menduduki SPM 2023 boleh membuat permohonan di mana-mana 232 cawangan GiatMARA seluruh negara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang ditawarkan di institusi tersebut boleh bantu menyediakan latihan kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi.
“GiatMARA juga telah mengenal-pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran.
BACA LAGI: NUTP desak KPM bentang maklumat, punca lebih 10,000 calon tidak duduki SPM 2023
BACA LAGI: Beri peluang kedua calon tidak hadir SPM, galakkan ambil kemahiran TVET — KGMMB
"Ini termasuk bidang-bidang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), Robotik, kenderaan elektrik (EV), kenderaan tenaga boleh diperbaharui (REV) dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Asyraf Wajdi
Beliau berkata, program TVET MARA dijalankan dengan kerjasama rapat bersama pemain-pemain industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA dapat menjamin peluang pekerjaan.
“GiatMARA sedang membuat kajian secara holistik semua programnya agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.
“Setiap manusia dijadikan ALLAH SWT punya kekuatan tersendiri. Yang kurang cemerlang dari segi akademik yang berorientasikan membaca dan peperiksaan bertulis, boleh cemerlang dalam bidang kemahiran seperti bidang TVET,” ujarnya.
Menurut Asyraf, langkah itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan mendedahkan sejumlah 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius jumlah itu dan ia perlu ditangani dan diteliti agar langkah intervensi dapat dilakukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram