Beri peluang kedua calon tidak hadir SPM, galakkan ambil kemahiran TVET — KGMMB


  • Massa
  • Selasa, 28 Mei 2024

Lebih 10,000 pelajar Tingkatan Lima tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2023. — Gambar Hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan untuk mengambil beberapa langkah intervensi untuk menangani isu pelajar yang tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan memberi peluang kedua kepada mereka.

Ia adalah susulan lebih 10,160 daripada 383,685 calon baharu tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, walaupun jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan itu menurun berbanding tahun lalu namun ia tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

BACA LAGI: Lebih 10,000 calon tak hadir duduki SPM 2023

BACA LAGI: 'Usah harapkan cikgu saja, KPM diminta teliti tindakan terhadap ibu bapa acuh tak acuh kehadiran anak duduki SPM'

Katanya, KPM terutamanya pihak sekolah dan juga guru perlu menjalankan analisis mendalam bagi mengenal pasti punca utama ketidakhadiran pelajar dalam menduduki peperiksaan tersebut.

"Langkah ini perlu diambil untuk memastikan tindakan intervensi yang berkesan dapat dilaksanakan, bermula dari sekolah itu sendiri.

"Masalah ini boleh dikesan dengan melihat kehadiran pelajar itu daripada awal dan kemudian pihak sekolah boleh menjalankan punca sebenar kenapa pelajar itu bertindak sedemikian," katanya kepada Majoriti.

2498285

Presiden KGMMB, Juhari Mohamad Nor

Jelasnya, ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar itu sendiri tidak hadir seperti masalah kesihatan, masalah peribadi, dan kemungkinan cabaran lain yang dihadapi oleh pelajar.

"Kadang-kadang ada calon yang ingin ke sekolah tetapi atas sebab masalah keluarga mereka melupakan hasrat mereka.

"Ada juga pelajar yang hanya dijaga oleh datuk serta nenek dan disebabkan oleh faktor kewangan mereka tidak ada motivasi untuk meneruskan pelajaran.

"Sehubungan itu, KPM dengan kerjasama daripada pihak sekolah harus mencari punca masalah dari 'akar' dan membantu pelajar tersebut," ujarnya.

Tambah beliau lagi, untuk menangani isu calon tidak hadir menduduki SPM, KPM boleh mengambil beberapa langkah intervensi seperti meningkatkan kerjasama dengan komuniti dan ibu bapa untuk memastikan mereka menyokong dan memantau kehadiran anak-anak mereka ke sekolah dan peperiksaan.

"Ini boleh dilakukan melalui mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan program kesedaran komuniti di sekolah,"katanya.

SEREMBAN, 20 Feb -- Reaksi salah seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika meneliti soalan Bahasa Melayu kertas 1 di SMK Puteri Seremban hari ini.Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan SPM di 3,355 pusat pemeriksaan di seluruh negara bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.

-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA



KPM dicadangkan untuk membenarkan pelajar menduduki peperiksaan secara berperingkat untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan peluang mereka untuk lulus. — Gambar hiasan

Pada masa sama, Juhari turut mencadangkan calon yang tidak hadir peperiksaan itu diberi peluang kedua.

"Ini boleh dilakukan melalui peperiksaan ulangan pada tarikh yang berbeza bagi pelajar yang mempunyai alasan kukuh untuk ketidakhadiran mereka seperti masalah kesihatan atau isu keluarga.

"Selain itu, KPM juga boleh membenarkan pelajar menduduki peperiksaan secara berperingkat untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan peluang mereka untuk lulus," katanya.

Selain daripada menduduki semula peperiksaan SPM, pelajar juga boleh didorong untuk mengambil kursus kemahiran yang dapat memberikan mereka kemahiran praktikal dan peluang pekerjaan.

Jelas Juhairi, KPM boleh melakukan kerjasama dengan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menyediakan lebih banyak program kemahiran kepada pelajar yang tidak menduduki SPM.

"Harus saya ingatkan di sini, pelajar perlu mempunyai sijil persekolahan bagi membantu mereka meneruskan hidup.

Kursus kemahiran boleh memberikan pelajar kemahiran praktikal yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja. — Gambar hiasan

"Kursus kemahiran boleh memberikan pelajar kemahiran praktikal yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja. Ini juga boleh membantu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.

"Persaingan antara mereka itu sendiri juga sengit walaupun hanya meminta pekerjaan dalam bidang industri perkilangan," tegas beliau.

Sekiranya langkah-langkah ini dilaksanakan dengan betul, ia boleh membantu menangani isu ketidakhadiran pelajar dalam menduduki SPM dan memastikan mereka mendapat peluang kedua untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kerjaya mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram