PERSATUAN Nelayan Kawasan (PNK) dan negeri perlu memastikan agar tidak berlaku isu ketirisan dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi untuk nelayan dengan penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan di Semenanjung.
Memetik laporan Buletin Utama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, semua PNK diharapkan tidak memandang ringan akan perkara itu kerana subsidi yang diberikan kerajaan amat penting untuk kemudahan nelayan.
Menurutnya, selain harga yang lebih rendah bagi mengurangkan kos nelayan turun ke laut, bekalan minyak yang mencukupi juga sangat penting untuk operasi nelayan di seluruh negara.
BACA LAGI: 'Tengoklah nanti', rakyat resah rumours harga petrol RON95 naik makin kuat
BACA LAGI: Golongan nelayan Sebuyau kecewa, projek jambatan tanpa tangga ibarat tempat 'training ninja'
Bekalan minyak mesti cukup untuk menjamin operasi nelayan di seluruh negara.
“Alhamdullilah, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak diesel kepada nelayan pada harga RM1.65 seliter berbanding harga bersubsidi RM2.15 seliter di stesen minyak dan harga pasaran tanpa subsidi yang mencecah hingga RM5 seliter.
“Bekalan minyak mesti cukup untuk menjamin operasi nelayan dan atas sebab itu Persatuan Nelayan mesti memastikan jualan minyak dalam keadaan baik dan tiada ketirisan atau penyelewengan berlaku.
“Banyak PNK bergantung kepada jualan minyak, kalau kerajaan tarik balik subsidi, nanti apa akan jadi kepada persatuan. Jadi, jangan anggap perkara ini kecil, jaga elok-elok jualan minyak jangan ada ketirisan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH), di Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin malam.
Muhammad Faiz dalam pada itu turut mengingatkan nelayan agar tidak menganggap diri mereka sebagai pekerja kelas kedua hanya kerana bekerja sebagai penangkap ikan.
Jelasnya, tanggapan negatif itu menjadi antara punca yang menyebabkan nelayan menjadi lemah dan ramai masih tergolong sebagai miskin atau hanya berada dalam kategori B40.
“Kita mahu nelayan maju dan atas sebab itu nelayan perlu melakukan perubahan minda untuk meningkatkan kekuatan diri dan memajukan golongan nelayan.
"Sudah-sudahlah orang cakap nelayan ini miskin dan B40, kita kena ubah persepsi ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram