JIKA bercerita tentang isu minyak petrol di Malaysia, memang tidak akan pernah habis.
Ada sahaja hujah yang hendak dikongsikan masyarakat terutama dalam kalangan penggunanya.
Di Malaysia ketika ini, antara topik hangat yang dibincangkan adalah berhubung pengurangan subsidi petrol yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan keperluan untuk mengurangkan subsidi bahan apai itu sebagai langkah menurunkan defisit fiskal negara.
BACA LAGI: 'Tengoklah nanti', rakyat resah rumours harga petrol RON95 naik makin kuat
BACA LAGI: Harga RON95 cecah RM3.50? Peningkatan berperingkat amalan terbaik rasionalisasi subsidi
Beliau turut menjelaskan kerajaan berada di landasan yang betul untuk menumpukan bantuannya bagi membantu golongan memerlukan.
Pengumuman itu nyata mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat, ada yang menerima, tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Mungkin ramai yang kurang tahu, Malaysia merupakan antara negara yang menjual petrol dengan harga paling murah di dunia.
Malaysia merupakan antara negara yang menjual petrol dengan harga paling murah di dunia.
Seperti perkongsian seorang pengguna media sosial di laman X (Twitter) @jhnrdzi, individu tersebut berkongsi pengalamannya mengisi minyak di sekitar Thailand yang ternyata jauh lebih mahal berbanding di negara ini.
"Patutlah orang Malaysia kalau bermain di Thailand, hanya sekitar Hatyai. Jarang dilanjutkan ke atas lagi jika memandu kereta.
"Semalam aku isi petrol, tangki penuh cecah RM200. Sehampir tiga kali ganda daripada biasa di Malaysia.
"Tali usus minyak subsidi kita terputus jika kita berkelana terlalu jauh. Orang kita tak tahu betapa untungnya jadi warga tanah air," ciapnya pada Ahad.
Ciapan itu turut disokong rata-rata pengguna media sosial yang lain.
Bagi @Tobiaqguy, pengalamannya berada di Thailand menyedarkan dirinya agar bersyukur dengan harga minyak yang dijual di Malaysia.
"Aku pernah memandu sampai Krabi, dalam perjalanan balik kena topup minyak seblum sampai Hatyai.
"Tapi aku tak isi penuh, isi agak-agak cukup sampai ke Padang Besar sebab di Thailand minyak mahal," tulisnya.
Tangkap layar memaparkan komen pengguna media sosial mengenai topik harga petrol di Malaysia dan Thailand.
Menurut pengendali akaun X @aiwawa_ pula, rakyat perlu sedar bahawa subsidi minyak yang ditanggung kerajaan akan memberikan impak kepada peruntukan untuk keperluan yang lain.
"Negara lain dah lama perit (dengan) harga petrol. Orang Malaysia manja, untung kerajaan tanggung.
"Tapi setiap ringgit subsidi kerajaan tanggung itu tarik peruntukan perubatan pendidikan keselamatan kita semua, itu tak masuk cerita berlambak orang luar guna subsidi hak kita," tegasnya.
Dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara, harga petrol di Malaysia merupakan yang terendah iaitu RM2.05 seliter untuk RON95.
Harga minyak RON97 untuk minggu ini pula ditetapkan pada kadar RM3.47 seliter dan diesel (RM2.15 seliter).
Jika dibandingkan dengan harga petrol di Thailand, RON95 mereka jauh lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu sekitar RM5.36 seliter, sementara RON97 pada harga RM6.45 seliter.
Untuk rekod, kerajaan menanggung sekitar RM2 bilion sebulan untuk subsidi petrol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram