[VIDEO] Sampai terkoyak kulit kepala, Sky Rider 'fun fair' tiba-tiba runtuh di Sumatera


  • Benua
  • Selasa, 28 Mei 2024

Permainan Sky Rider di sebuah pesta ria di Kampung Setia Negara, Baradatu, daerah Way Kanan, Sumatera, Indonesia runtuh secara tiba-tiba pada Isnin malam.

SEORANG wanita di Sumatera, Indonesia cedera parah manakala yang lain mengalami kecederaan ringan selepas permainan Sky Rider yang dinaiki mereka runtuh secara tiba-tiba pada Isnin malam.

Suasana kejadian yang berlaku di sebuah pesta ria (fun fair) di Padang Sriwijaya, Kampung Setia Negara, Baradatu, daerah Way Kanan, Sumatera, Indonesia itu turut dikongsikan di laman sosial sebelum menjadi tular.

Sepasukan anggota polis daripada Baradatu, Way Kanan dan Lampung pada Selasa telah membuat tinjauan di lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Roller coaster tergolek dari landasan, ramai persoal tahap keselamatan 'fun fair' di Raub

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan kejadian pertama, 2 pengunjung cedera di kepala tercampak dari 'sotong ride' di Likas

Pihak polis tempatan memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Baradatu, Kompol Edy Saputra berkata, beberapa penduduk yang menaiki permainan itu dilaporkan mengalami kecederaan.

“Seorang penduduk wanita berasal dari Desa Banjar Negara, Fitriyani berusia 37 tahun dikejarkan ke hospital, manakala yang lain cedera ringan dan sudah pun dibawa pulang.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini untuk menentukan sama ada ia adalah kemalangan semata-mata atau atas kecuaian pihak pengurusan,” katanya.

WhatsApp Image 2024-05-28 at 15.36.58

Keadaan seorang wanita yang cedera parah selepas bermain Sky Rider pada Isnin.

Turut tular, satu foto memaparkan keadaan mangsa dalam keadaan kulit kepalanya terkoyak dipercayai selepas terjatuh ketika bermain Sky Rider itu.

Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Handayani, Lampung Utara untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, salah seorang saksi tampil menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam Isnin.

Menurutnya, seorang wanita dilihat membawa anaknya bermain Sky Rider sebelum besi yang menyokong tali permainan tersebut tiba-tiba patah.

"Melihat tali itu patah dan ia mulai runtuh, mangsa segera berlari menyelamatkan anaknya namun dia sendiri terkena tali tersebut," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram