[VIDEO] Empat tahun ‘kebal’, warga asing menggelabah panjat atap diserbu Imigresen di Sentul


  • 112
  • Selasa, 28 Mei 2024

Jabatan Imigresen Malaysia menggempur sebuah penempatan haram didiami warga asing di Sentul, Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa. — Facebook/JIM

SEBUAH penempatan haram warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi dijalankan di kawasan sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa.

Operasi diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh itu memeriksa seramai 123 warga asing terdiri daripada 95 orang warga Myanmar, India (21) dan Indonesia (7).

Hasil risikan dan aduan diterima mendapati, penempatan haram berkenaan wujud sejak empat tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.

BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing ada 'kaunter belakang', hanya jual kalau kenal

BACA LAGI: [VIDEO] Imigresen tahan 238 warga asing di Kota Bharu, rakyat dakwa ramai PATI bersembunyi di Tanah Merah

Warga asing terbabit dipercayai menyewa rumah daripada rakyat tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka dengan bayaran sewa kira-kira RM400 sebulan.

Kawasan penempatan haram itu turut menempatkan kedai runcit dengan kebanyakan mereka difahamkan berniaga dan bekerja di kawasan sekitar.

Berdasarkan semakan, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa.

Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok dan mengunci diri dalam rumah supaya tidak ditahan pihak berkuasa.

Operasi itu melibatkan pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala kesemua warga asing berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Turut hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram