SUDAH menjadi kewajipan buat pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melanjutkan pengajian ke peringkat universiti bagi membolehkan impian masing-masing tercapai.
Bermula daripada keputusan cemerlang di peringkat SPM, membolehkan seseorang pelajar itu memohon bidang diminati di peringkat pengajian tinggi.
Namun, nasib segelintir pelajar tidak kesampaian apabila hajat mereka tersekat akibat insiden maut yang menimpa beberapa bulan sebelum menduduki peperiksan itu.
BACA LAGI: Lebih 10,000 calon tak hadir duduki SPM 2023
BACA LAGI: Hilang momen terakhir bersama kawan antara kontra bila tarikh umum keputusan SPM 2023 tidak dipinda
Berikut merupakan tiga kes maut membabitkan calon SPM pernah berlaku sebelum ini.
1. Calon SPM maut kemalangan dengan treler
Seorang calon SPM maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 7, simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi, Negeri Sembilan pada Februari lalu.
Kejadian berlaku ketika treler terbabit berhenti seketika untuk menunggu giliran di simpang tiga Jalan Pedas-Kundur-Linggi untuk menghala masuk ke arah sebelah kanan ke Kundur.
Namun, semasa treler itu ingin keluar simpang, mangsa dari arah bertentangan tidak dapat mengelak lalu terlanggar tayar bahagian kanan treler berkenaan.
Akibatnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau itu cedera parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
2. Calon SPM maut dilanggar pegawai kanan PDRM
Seorang calon SPM maut selepas diseret sejauh lima meter oleh sebuah kenderaan dari arah belakang di Jalan Taman Jadi, Meru, Ipoh, Perak pada 15 Disember tahun lalu.
Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut di tempat kejadian selepas suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising ekzos ketika perjalanan pulang dari sekolah.
Hasil siasatan polis mendapati, suspek Mohd Nazri Abdul Razak, 44, merupakan pegawai kanan polis dan dia didakwa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terbaharu, suspek dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.
3. Maut selepas duduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu SPM
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Serdang-Selama, Serdang, Selangor pada 21 Februari 2022.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nurul Fateha Amyra Saiful Nizam, 18, difahamkan sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu.
Mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan selepas memotong sebuah lori sebelum dirempuh kenderaan jenis Nissan Frontier itu dari hadapan.
Nurul Fateha tercampak di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
4. Nahas berlanggar motosikal rakan
Seorang pelajar lelaki yang memperoleh 6A dalam SPM 2019, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 33.6 berhampiran susur keluar Bandar Darulaman, Jitra, Kedah pada 14 Mac 2019.
Ketika kejadian, motosikal ditunggang Allahyarham Muhammad Hakimie Ifwat Sabaruddin, 18, bergesel dengan sebuah motosikal lain yang ditunggangi rakannya.
Difahamkan, insiden berlaku akibat geseran antara kedua-dua motosikal terbabit selepas rakannya gagal menekan brek sebelum terhimpit dengan mangsa.
Mangsa dilaporkan terpelanting jauh dari motosikalnya dan disahkan meninggal dunia ketika kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram