Calon SPM imamkan jenazah bapa dapat 11A, jadikan nasihat arwah ayah azimat kejayaan


  • Massa
  • Isnin, 27 Mei 2024

Muhammad Hud Ukail (tengah) ketika menerima keputusan cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya pada Isnin.

'ALLAH penentu segalanya'. Demikian merupakan kata-kata azimat yang pernah diungkapkan arwah bapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, yang menjadi pegangan hidup hingga berjaya peroleh keputusan cemerlang 11A pada pagi Isnin.

Muhammad Hud Ukail, 17, yang sebelum ini meraih perhatian umum apabila terpaksa pulang daripada menduduki SPM kerana ingin mengimamkan solat jenazah arwah bapanya menzahirkan kesyukuran kerana segala penat lelah serta dugaan dihadapi berbalas.

Mendedikasikan keputusan cemerlangnya khas buat arwah bapanya, remaja itu menganggap pemergian insan tercinta itu sebagai salah satu pembakar semangat untuk terus belajar dan cemerlang dalam hidup.

BACA LAGI: Subsidi diesel bersasar bermula di Semenanjung, PM Anwar beri 'list awal' senarai kenderaan manfaat

BACA LAGI: Mekanisme, perincian penyasaran subsidi diesel diumum dalam masa terdekat — PM Anwar

MASK

Muhammad Hud Ukail peroleh keputusan SPM cemerlang 11A.

"Peninggalan ayah saya sememangnya satu dugaan besar namun saya anggap ia sebagai pencetus semangat untuk belajar lebih rajin dan raih keputusan SPM yang cemerlang.

"Ayah selalu pesan ALLAH penentu segalanya, belajar rajin-rajin dan solat jangan tinggal, jadi tu merupakan kata azimat yang saya pegang hingga ke hari ini.

"Keputusan ini khas buat arwah ayah saya dan keluarga," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, perkara pertama terlintas selepas menerima keputusan di sekolah adalah berziarah ke pusara bapanya di tanah perkuburan Islam Kampung Perepat, Kapar, Selangor.

"Saya dan ibu akan terus pulang ke rumah untuk bersiap, dan seterusnya ke kubur arwah ayah bersama slip keputusan cemerlang.

"Nak berkongsi cerita dengan ayah biarpun dia sudah tiada, saya yakin ayah pasti gembira dengan pencapaian saya hari ini," ujarnya.

Ketika disoal perancangannya selepas ini, Muhammad Hud berkata bahawa dia ingin menyambung pengajian di peringkat universiti dalam bidang guaman.

Meskipun menduduki kelas aliran perniagaan di sekolah, namun bidang guaman akan tetap menjadi pilihan utamanya untuk terus berjaya di masa akan datang.

Untuk rekod, Allahyarham Suhaifulfarizal, 50, meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor pada 7 Februari lalu.

Berita kematiannya hanya diketahui Muhammad Hud selepas selesai menduduki peperiksaan SPM di sekolah dan dia dihantar pulang guru bagi memenuhi amat bapanya yang mahu agar anaknya sendiri yang mengimamkan solat jenazahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram