SERAMAI 268 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Kutip yang dijalankan di sekitar Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi bermula pukul 10 pagi itu yang turut melibatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Perbandaran Kota Bharu.
Beliau berkata, majoriti yang ditahan ialah warga Myanmar iaitu 122 orang dengan pecahan 115 lelaki, tiga wanita dan empat kanak-kanak.
BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing ada 'kaunter belakang', hanya jual kalau kenal
"Warga asing lain yang turut ditahan ialah Bangladesh (76), Indonesia (15), Thailand (6), Pakistan (3), India (3), Thailand (6) dan Nepal (13) kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," menurutnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Nik Akhtarulhaq juga menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Kesemua warga asing ini akan menjalani proses dokumentasi oleh pihak jabatan untuk tindakan selanjutnya dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara serta bersubahat dalam melindungi pendatang tanpa izin," katanya.
Dalam pada itu, netizen di ruangan komen menggesa agar operasi tangkapan itu diperluaskan lagi di seluruh daerah Kelantan kerana ada yang mendakwa masih ramai yang bersembunyi di kawasan terpencil.
"Saya balik kampung baru-baru ini, ramai geng warga asing naik bas ke Tanah Merah, penjual tiket kena memperketatkan lagi cara penjualan tiket," kata Addam.
"Laluan pejalan kaki dari stesen bas ke pejabat Mara, kaki lima situ ramai pendatang asing sampai nak lalu pun tak boleh, kena perluaskan lagi operasi," ujar Mazuin Kasmini Empire.
"Malam tadi naik bas dari Kuala Lumpur, ramai pendatang pakat turun Tanah Merah, duduk mana tak tahu mereka semua tapi yang pasti mesti ada tempat persembunyian warga asing di situ," tambah Aquarius WHA.
Kesemua warga asing yang dikenal pasti melakukan kesalahan, difahamkan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram