BARANGAN kawalan dan bersubsidi di pasaran sememangnya diperkenalkan bagi memudahkan rata-rata pengguna untuk memperoleh barangan tersebut di samping menangani isu penyeludupan.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, timbul isu warga asing melakukan penyelewengan dengan menyorok bekalan barangan kawalan.
Pada Jumaat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya membongkar tindakan dua kedai runcit di kawasan Ayer Keroh, Melaka yang melakukan penyelewengan dengan menyorokkan bekalan barang kawalan.
Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata, tindakan itu dilakukan pemilik kedai terbabit kerana disyaki mahu menjual barang kawalan termasuk gula, tepung dan minyak peket bersubsidi kepada restoran-restoran berhampiran dengan harga lebih tinggi dari pasaran.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di stor dan bilik tidur pekerja, pihaknya menemui barang kawalan yang disorokkan di bawah katil pekerja selain diletakkan di kaunter pembayaran dan rak barangan yang telah disusun bagi mengaburi mata penguat kuasa.
"Pasukan kita membuat penyamaran dan wakil kedai mengakui tiada bekalan barang kawalan di kedai runcit mereka.
KPDN berkata, antara penemuan barangan kawalan yang disorokkan adalah minyak masak peket RM2.50 yang dijual pada harga lebih tinggi iaitu RM3.5 sepeket.
Rakaman penyorokkan barangan yang tular di media sosial sekali gus mengundang kemarahan warganet yang berasa perlunya serbuan dibuat ke atas lebih banyak kedai kerana isu itu dilihat semakin menjadi-jadi.
"Ini yang berlaku dikebanyakan kedai kedai runcit, malahan di pasar mini. Masa mahu pergi beli minyak gula, beras tempatan, semua nak kosong. Tiba-tiba datang seorang yang pick up (disyaki peniaga kedai makan, restoran), terus keluar segala stok yang ada," tulis Azman Nordin.
"Setuju. Saman syarikat dengan jumlah yang banyak dan tarik lesen pembekal untuk barangan subsidi. Baru datang akal," tulis Incik Gaban.
"Macam mana mahu buat laporan ya? Kedai dekat rumah saya pun sama, warga asing yang jaga dan dia sembunyikan. Saya nak beli dia cakap tiada, Selepas itu suami pergi dia bagi. Dia siap cakap 'ini abang saya bagi sebab kenal sahaja, jangan beritahu orang', geram betul dengar," tulis Nour Syanouril.
"Tarik lesen. Blacklist sahaja nama. Haram jadah punya mentaliti. Menyusahkan orang nak buat kerja. Fikir dia sahaja. Istiqamah buat serbuan mengejut macam ini secara menyeluruh. Bukan pilih kasih. Insya-ALLAH, manfaat dapat disalurkan pada yang lebih memerlukan," tulis Badrin Basir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram