KERAJAAN bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dengan langkah itu bakal membolehkan kerajaan melakukan penjimatan kasar sebanyak RM4 bilion setiap tahun.
Namun, perkara itu menerima pelbagai maklum balas dalam kalangan rakyat yang menyifatkan ia tidak adil khususnya bagi golongan B40.
BACA LAGI: Subsidi diesel bersasar bermula di Semenanjung, PM Anwar beri 'list awal' senarai kenderaan manfaat
BACA LAGI: Mekanisme, perincian penyasaran subsidi diesel diumum dalam masa terdekat — PM Anwar
Turut mendapat maklum balas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat merayu agar langkah penyasaran diesel itu ditarik semula oleh Anwar Ibrahim.
Jelasnya, perkara itu akan menjejaskan pemandu bot yang bekerja di sektor perikanan susulan pengumuman penyasaran bahan api tersebut.
Mendakwa individu dengan hobi memancing juga terkesan dengan situasi itu, beliau berkata bahawa jumlah kos sehala bagi aktiviti memancing menelan harga yang agak tinggi.
"Datuk Seri Anwar, subsidi minyak jangan ditarik balik, kesian geng pancing, satu trip ini antara RM1,500 ke RM2,000.
"Kami pun pergi suka-suka, bukan pergi untuk mencari pendapatan, tetapi selepas penat bekerja, kami pergi luangkan masa mengail sambil menenangkan diri.
"Tolonglah, Perdana Menteriku, jangan tarik subsidi minyak," katanya menerusi hantaran di TikTok.
@hajihanafiahmat Subsidi minyak ? #ybc #pakciktiktok #kekaltenang ♬ The Endless Night - Resonance Suite Version - William Joseph Puchot
Hantaran itu menerima kecaman hebat di platform X apabila ramai mengkritik tindakannya yang dianggap 'lapar' subsidi itu.
"Ada ke patut guna hujah jangan tarik subsidi demi membela aktiviti memancing atas bot yang kurang melibatkan golongan berpendapatan rendah. Subsidi tu tujuannya apa pun dia tak tau agaknya," kata Saifullah Al-BotaKiri.
"Kerajaan beri subsidi bersasar supaya yang memerlukan saja dapat, tak bazir duit kerajaan subsidi golongan maha kaya, warga asing dan penyeludup.
"Lebai PAS (minta) PM tolong teruskan subsidi pukal sebab nanti macam mana mereka nak bayar trip memancing harga RM1,500 ke RM2,000," kritik Injang_Nation.
Untuk rekod, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu itu pernah meraih kecaman selepas didakwa memperlekehkan hidangan Menu Rahmah.
Berdasarkan video itu, Hanafiah dilihat menjamah hidangan tersebut sambil merungut tentang sayur yang sedikit dan tiada kuah.
Namun, beliau menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa perkongsian video tular itu bukanlah seperti diperkatakan ramai selain turut memberikan amaran kepada pihak yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram