SEPASANG suami isteri merupakan antara tiga mangsa terkorban dalam nahas kemalangan di kilometer (KM) 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), dari Sabak Bernam menghala ke Changkat Jering arah Utara pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar pukul 11.11 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong bergegas ke lokasi kejadian.
Pihak bomba mengesahkan kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan jenis Perodua Bezza dan Honda Civic.
BACA LAGI: [VIDEO] Butik jenama popular baju raya terbakar di Bangi, 2 pekerja sesak nafas
"Terdapat sembilan orang mangsa terlibat dalam kemalangan itu. Seorang mangsa tersepit dalam kereta Perodua Bezza manakala seorang lagi dalam kenderaan Honda Civic.
"Komander Operasi kemudiannya membuat 'size up' dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seramai lima individu menaiki Perodua Bezza terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta tiga kanak-kanak. Lelaki dan wanita terbabit meninggal dunia manakala yang lain cedera.
"Terdapat empat orang menaiki kereta Honda Civic iaitu dua wanita dan dua kanak-kanak. Salah seorang wanita terbabit meninggal dunia manakala tiga lagi hanya mengalami kecederaan," katanya.
Dalam pada itu, mangsa pasangan suami isteri yang menaiki kereta Perodua Bezza terbabit difahamkan berkhidmat sebagai ustaz dan ustazah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dekat Bagan Datuk, Perak.
Ucapan takziah daripada warga MRSM Bagan Datuk.
Perkongsian warganet di laman media menjelaskan bahawa mangsa sedang dalam perjalanan ke sekolah untuk memberikan hadiah pada pelajarnya yang cemerlang menduduki peperiksaan.
"Anak saya kata ustaz nak datang jumpa pelajar di MRSM masa ambil keputusan nanti dan belanja mereka yang dapat keputusan cemerlang bahasa Arab," kata Hanim Misbah.
"Anak saya pun bagitahu perkara sama, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beramal soleh, niat pun dah dapat pahala," ujar Rahayu Ramdzan.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan kenderaan dari Kementerian Kesihatan dan jentera Pasukan Khas jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Taiping.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nizam Abdul Manaf itu tamat pukul 1.10 pagi Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram