Mak ayah adik Aariz Zafran hilangkan diri, tinggalkan nenek hidap angin ahmar sendirian


  • Massa
  • Ahad, 26 Mei 2024

Tangkap layar seorang bapa membawa anaknya menaiki motosikal untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

PASANGAN tular yang meraih perhatian seluruh negara kerana membawa bayi lelaki berusia 11 bulan menunggang motosikal dengan memakai alat pernafasan yang di Alor Setar, Kedah baru-baru ini dipercayai sudah menghilangkan diri.

Usaha Majoriti menghubungi mereka tidak berjaya kerana kedua-duanya tidak menjawab panggilan. Malah mereka juga mematikan talian telefon dipercayai agar tidak dapat dihubungi.

Tindakan kedua-dua pasangan itu, Mohd Azlan Ishak, 35, dan Norhidayu Halim, 35, mengecewakan ramai selepas banyak pihak tampil memberikan sumbangan sejurus kisah sedih mereka tular di Facebook.

BACA LAGI: JKM digesa campur tangan, bela nasib bayi pasangan didakwa ketagih dadah, 'scammer' sejak 2016

BACA LAGI: 'Saya tak mampu beli kereta', bapa tular bawa anak naik motor di Alor Setar dedah bayi hidap penyakit paru-paru kronik

Ia termasuk selepas tindakan seorang pengusaha kereta terpakai, Firdaus Shariffudin, 36, yang sanggup menghadiahkan Proton Persona bernilai RM18,000 kepada mereka.

Sementara itu, Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi, Seberang Kota Kuala Kedah, Muhammad Hazamer Mualim memaklumkan pihaknya turut memantau kawasan rumah lelaki berusia 35 tahun itu namun didapati dia gagal dikesan.

"Hanya ibunya yang menghidap angin ahmar berada di rumah itu seorang diri namun dipantau oleh jiran berhampiran.

"Pejabat Agama Daerah sudah memberi kebenaran supaya saya memaklumkan kepada pasangan itu untuk menyerahkan dokumen bagi memudahkan proses pernikahan dijalankan.

2713957

Tangkap layar video memaparkan ayah kepada bayi sakit kronik menerima sebuah kereta Proton Persona baru-baru ini.

"Namun sehingga ini, saya tidak menerima apa-apa dokumen daripada mereka dan mereka dipercayai sudah menghilangkan diri," katanya.

Jelas Muhammad Hazamer lagi, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menikahkan mereka tetapi perlu menyediakan dokumen lengkap sebelum melaksanakannya.

Muhammad Hazamer sebelum ini membuat pendedahan mengenai status Mohd Azlan dan Norhidayu adalah bukan suami isteri sah yang ternyata mengejutkan warga maya hingga timbul bermacam andaian negatif terhadap mereka.

Timbul juga beberapa dakwaan warga maya turut mendedahkan pasangan terbabit telah lama memperdaya orang ramai untuk mendapatkan sumbangan wang sejak 2016.

Terdahulu, Majoriti melaporkan orang ramai di laman media menggesa agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membela nasib bayi tersebut.

Meraih simpati bermodalkan penyakit kronik bayinya, kedua-dua pasangan berkenaan dipercayai pernah menerima bantuan daripada pelbagai pihak sejak beberapa tahun lalu namun masih belum mencukupi sehingga ke hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram