Mekanisme, perincian penyasaran subsidi diesel diumum dalam masa terdekat — PM Anwar


  • Primer
  • Isnin, 27 Mei 2024

Anwar turut menjawab cadangan Hamzah Zainuddin supaya beliau ke pasar basah di ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang.

SEGALA perincian termasuk berkaitan mekanisme penyelarasan subsidi diesel secara bersasar akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya memberi gambaran dan kerangka besar berkaitan pelaksanaan inisiatif dilakukan kerajaan.

Jelasnya, ia kemudian akan disusuli dengan tindakan daripada kementerian berkaitan.

BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi diesel di semenanjung akan dilaksanakan tahun ini — KPDN

BACA LAGI: Subsidi diesel kos kerajaan RM1 bilion sebulan, rugi RM4.5 juta sehari — Menteri Kewangan II

"Menteri Kewangan II akan menjelaskan lebih lanjut.

"Ada orang tanya mengapa semua Perdana Menteri lakukan. Saya beri gambaran, kerangka besar kemudian, akan ada tindakan susulan."

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Pameran Era Pascanormal Madani di sebuah kompleks beli- belah di Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar turut menjawab cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya beliau ke pasar basah di ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang.

"Kerja saya hampir saban minggu (turun padang) ke warung kecil dan pasar.

"Saya ke pasar tidak saban minggu, tapi warung kecil (setiap minggu) dan setiap kali sebelum Jumaat, saya tanya mengenai harga barang dan masalah mereka.

"Tapi saya ingat beliau nak elak daripada jawapan mengenai parti itu mendokong tauke-tauke kaya dan orang-orang asing, itu beliau belum jawab," katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram