PANTAI Klebang merupakan antara destinasi popular jika anda melancong ke Melaka.
Lokasi pelancongan yang terletak kira-kira lapan kilometer atau 15 minit dari Bandar Melaka itu terkenal dengan permukaan bukit pasir, membawa anda seolah-olah berada di gurun Sahara.
Bagaimanapun, kawasan yang seharusnya menjadi kebanggan masyarakat Melaka Negeri Bersejarah itu nampaknya semakin 'mengecewakan' pengunjungnya yang datang dari segenap negeri.
BACA LAGI: Harga RON95 cecah RM3.50? Peningkatan berperingkat amalan terbaik rasionalisasi subsidi
Seperti catatan dikongsikan menerusi laman Facebook Geng Viral Melaka Official pada Jumaat, seorang individu meluahkan kekecewaannya selepas kunjungannya di Pantai Klebang meninggalkan impak yang kurang senang dalam ingatan dirinya dan keluarga.
Menyentuh perihal makanan, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Khalis Raouf itu mengakui makanan di kawasan itu dijual dengan kualiti dan harga yang tidak berpatutan.
Pantai Klebang terkenal dengan permukaan bukit pasir.
Dia bahkan turut menyenaraikan jenis dan harga makanan yang mereka sekeluarga jamah sewaktu berada di pantai yang dipenuhi deretan pokok ru itu.
"Pengalaman paling tak menarik kali ini buat keputusan ke Pantai Klebang. Pertama, makanan. Aku beli kentang spring, sejuk dan muak RM7.
"Keropok lekor sejuk dan lama RM4. Air anggur, cawan besar RM5.
"Anak aku (makan) sosej ayam gunting sejuk RM7, sosej biasa sejuk RM3," katanya.
Mohd Khalis turut mempersoalkan bagaimana kawasan yang sentiasa dipenuhi orang ramai boleh menjual makanan bergoreng yang hampir kesemuanya sejuk.
Selain makanan, dia akui turut hampa dengan kemudahan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu.
"Paling aku stres apabila tiada langsung tempat pengunjung nak duduk disediakan PBT.
"Kali terakhir aku datang sini, ada juga meja, kali ini langsung tiada. Yang ada, kerusi healing (dijual dengan harga) RM10, RM20. Tikar pun RM10," tambahnya.
Rata-rata pengguna Facebook turut meluahkan kekecewaan sama setelah mengunjungi pantai berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, ternyata pengunjung tersebut tidak 'keseorangan'.
Rata-rata pengguna Facebook turut meluahkan kekecewaan sama setelah mengunjungi pantai berkenaan.
Antaranya Cik Wan Sri ZA berpendapat, dia sekeluarga hanya datang ke Pantai Klebang untuk menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) sahaja, tetapi memilih untuk tidak makan di lokasi tersebut.
"Bagus juga isu ini ditularkan. Nama sedap dah Klebang tapi entah apa-apa. Datang sini sebab anak nak bawa ATV sahaja, nak makan memang tidaklah.
"Kalau nak ke sini kena datang bukan waktu puncak, sebab masalah parkir. Semua tempat dah diambil peniaga.
"Paling tidak best, nak guna kerusia pun kena sewa, mahal pula tu," adunya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram