SEORANG ibu menyuarakan kekhuatiran selepas mendapati wujud pihak tidak bertanggungjawab menjual produk didakwa coklat minda di pekarangan sebuah sekolah.
Difahamkan, coklat dalam botol berwarna putih tanpa sebarang label itu dijual pada harga RM10 sebotol.
Perkara itu dikongsikan di laman Facebook Anna Shafize baru-baru ini.
BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi diesel di semenanjung akan dilaksanakan tahun ini — KPDN
Berdasarkan perkongsian, penjual berkenaan pada awalnya bertindak mengedarkan risalah memaklumkan butiran mengenai makanan tersebut.
Menerusi risalah itu, dinyatakan keistimewaan coklat minda antaranya ia dibaca dan didoa mengikut kaedah ulama silam.
"Khasiatnya bukan setakat mencerdaskan minda tetapi juga sesuai untuk kegunaan seisi keluarga terutama untuk anak-anak yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan," katanya.
Tangkap layar memaparkan luahan seorang ibu mengenai coklat yang dijual dalam botol berwarna putih tanpa sebarang label.
Antara fungsi coklat minda tersebut termasuklah didakwa meningkatkan fungsi otak, menurunkan kolesterol, mencegah penyakit jantung dan memperbaiki mood.
Malah turut disertakan aturan pemakanan yang mana coklat tersebut digalakkan diambil dalam nombor ganjil setiap hari selain disertakan bacaan selawat.
Dalam pada itu, Anna Shafize turut mendakwa, bisnes pada hari ini cenderung menggunakan agama sebagai faktor pelaris.
"Tengoklah coklat minda ini. Warna-warni macam coklat yang dijual di kedai kedai itu.
"Cara mereka edar kertas sebegini kepada anak-anak di luar pagar sekolah sebab kebanyakan sekolah tidak benarkan jurujual masuk ke sekolah," ujarnya.
Ceritanya lagi, pada keesokan harinya pula, penjual berkenaan akan menunggu di depan pagar dengan stok coklat yang sudah 'didoakan' itu.
"Nombor untuk dihubungi pun tiada. Gamak sungguhlah pekena (kenakan) budak-budak. Sebotol RM10 weh, coklat macam ini sahaja?
"Dahsyat... coklat ini boleh turunkan kolesterol? Sejak bila coklat ini ada DHA untuk tingkatkan fungsi otak? Wow boleh cegah sakit jantung gais. Penipu!" dakwanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram