IBU bapa yang kurang berpuas hati dengan keputusan penempatan pengetua di sekolah berasrama penuh (SBP) di negara ini disarankan untuk berunding dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, melalui kaedah tersebut, ibu bapa akan mendapat gambaran situasi sebenar yang berlaku dalam proses pemilihan pengetua di sekolah anak mereka.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai isu melibatkan pertukaran dan penggantian pengetua di sebuah SBP elit di Ipoh, Perak selepas pengetua sekolah berkenaan meninggal dunia baru-baru ini.
BACA LAGI: Perlu ada subsidi khas buat cikgu beli peralatan ICT — NUTP
Menurutnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh memainkan peranan untuk membuat temu janji dan berunding dengan pengarah di Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh untuk mendapatkan maklumat.
"Kami faham mungkin ada ibu bapa yang tidak berpuas hati kerana pengetua di sekolah anak mereka tidak tetap atau kerap bertukar.
Fouzi
"Mereka dinasihatkan untuk tidak menggunakan platform seperti media sosial untuk menyuarakan pandangan itu.
"Lebih baik berunding menggunakan platform yang betul, kita ada individu bertanggungjawab di peringkat jabatan.
"Itu lebih baik supaya mereka dapat gambaran sebenar, tidak boleh buat andaian mengatakan itu ini sebab kita tidak tahu proses yang berlaku," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Fouzi turut menolak dakwaan wujud campur tangan badan tertentu dalam proses pemilihan pengetua baharu di SBP elit berkenaan, seperti yang dilaporkan media.
Beliau menjelaskan, sebaliknya pengisian pengetua adalah bergantung pada keperluan di sesebuah sekolah.
Jelasnya lagi, tidak dinafikan keperluan lantikan pengetua baharu di SBP adalah lebih tinggi, berbanding sekolah harian biasa yang tidak memerlukan pengawasan 24 jam.
"Kita faham tentang kerumitan dialami pihak sekolah terutama ibu bapa yang mahukan kepimpinan terbaik di sekolah anak.
"Namun mereka juga harus menerima hakikat bahawa pemilihan seseorang ketua jabatan perlu melalui proses, bukannya mengikut arahan pengarah semata-mata.
"Misalnya, pengetua SBP elit itu meninggal dunia secara tiba-tiba. Mungkin mengikut keperluan, mereka 'ambil' dahulu pengetua di sekolah lain dan tempatkan di sekolah mereka," ujarnya.
Dalam masa sama, NUTP sentiasa menggesa KPM untuk sentiasa memastikan kekosongan pengetua di sekolah tertentu dapat diisi dalam tempoh sewajarnya.
Tegasnya, jawatan itu tidak boleh dibiarkan kosong terlalu lama, hingga lima bulan ke atas kerana ia berisiko mengganggu sistem sekolah.
"Kesatuan selalu mendesak KPM supaya amalan meletakkan kekosongan back-to-back, (maknanya seorang pergi dan seorang lagi isi) dilaksanakan supaya tidak berlaku kekosongan begitu lama.
"Kita bimbang kalau ada kes tertentu, individu yang bertanggungjawab itu tidak ada," katanya lagi.
Sementara itu, KPM ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan meneliti isu tersebut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram