Dari pam ke poket rakyat: Tambah baik SARA, STR antara manfaat dinikmati rakyat susulan langkah penjimatan Kerajaan Madani


  • Massa
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Melalui langkah penjimatan sebelum ini, kerajaan dapat menambah baik SARA dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta. — Gambar hiasan

KERAJAAN sebelum ini bersetuju dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula di Semenanjung Malaysia tanpa melibatkan Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, langkah penyasaran subsidi diesel itu dijangka memberikan penjimatan kasar sebanyak RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.

Menurut beliau, pemberian bantuan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi itu adalah bertujuan membendung kenaikan mendadak harga barangan dalam negara.

BACA LAGI: Subsidi diesel kos kerajaan RM1 bilion sebulan, rugi RM4.5 juta sehari — Menteri Kewangan II

BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi diesel di semenanjung akan dilaksanakan tahun ini — KPDN

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa langkah itu hanya akan memberi kesan kepada golongan kaya dan warga asing yang selama ini turut menikmati subsidi tersebut.

"Kerajaan akan turut menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan," katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara pada Rabu.

ANAWAR

Anwar ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung pada Rabu.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut mendedahkan, kerajaan menanggung kos subsidi diesel melebihi RM1 bilion sebulan, membabitkan kerugian mencecah RM4.5 juta sehari.

Menurut beliau, jurang perbezaan daripada harga pasaran telah mendorong aktiviti penyeludupan selama bertahun-tahun ke negara jiran.

Meskipun kerajaan sudah meyakinkan rakyat bahawa penjimatan tersebut akan terus digunakan bagi membantu golongan rentan dan mereka yang terkesan, rata-ratanya masih menyuarakan keresahan berhubung pelaksanaan itu.

Tidak dinafikan, tindakan kerajaan yang masih belum mengumumkan tarikh tepat dan butiran lanjut mengenai inisiatif itu berkemungkinan menjadi faktor pendorong 'penolakan' pelaksanaannya buat masa ini.

Apatah lagi, langkah itu melibatkan keseluruhan rantaian ekonomi, jadi tidak mustahil rakyat akan bimbang dengan perkembangan tersebut.

Mengimbas kembali rekod sebelum ini, langkah penjimatan dan pengurusan kewangan negara yang baik dapat digunakan untuk meningkatkan bantuan kepada rakyat.

Justeru Majoriti senaraikan empat impak positif yang dinikmati rakyat susulan daripada langkah yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini:

5

Kerajaan menanggung kos subsidi diesel melebihi RM1 bilion sebulan.

1. Sumbangan Asas Rahmah

Melalui langkah penjimatan sebelum ini, kerajaan dapat menambah baik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, iaitu lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta tahun lalu.

Kerajaan turut meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 berbanding RM600.

Menurut perdana menteri, ia merupakan antara bukti anjakan pengurusan kewangan negara yang mana sebahagian penjimatan yang dilaksanakan kerajaan dapat digunakan untuk memperkasakan saluran bantuan rakyat di negara ini.

2. Sumbangan Tunai Rahmah

Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga dinaikkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion tahun ini yang memanfaatkan sekitar sembilan juta penerima bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

Bantuan murid juga ditambah baik apabila Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperluas kepada semua murid daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dengan peruntukan hampir RM800 juta, bermula tahun lalu.

3. Kadar Skim Subsidi Harga Padi

A man laying paddy seedling in the watery paddy field.

Penambahbaikan SSHP membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 setiap tan.

Kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) telah ditingkatkan daripada RM360 pada 2022 kepada RM500 per metrik tan pada tahun 2023.

Untuk rekod, kenaikan itu adalah yang terbesar dalam sejarah.

Penambahbaikan itu membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 setiap tan, sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah dan memberi motivasi untuk meningkatkan pengeluaran.

4. Insentif Pengeluaran Getah

Many rubber tappers hope the price goes up.To boost the economy and be able to spend money for the family. during  the presentation of the Budget 2015 will be presented in Parliament tomorrow by Prime Minister .Starpix By A Malex Yahaya.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM90 juta kepada Risda dan Felcra.

Kerajaan Madani berhasil menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak dua kali iaitu daripada RM2.50 sekilogram pada 2022 kepada RM2.70 sekilogram (2023) dan RM3 sekilogram pada tahun ini.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM90 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Felcra Berhad (Felcra) untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matang, lembu dan ayam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram