"SAYA tak mampu nak beli kereta," itulah luahan bapa dalam gambar yang tular di media sosial sedang membawa anak kecilnya menaiki motosikal sambil memakai alat bantuan pernafasan.
Lelaki yang ingin dikenali sebagai Azlan Ishak, 35, itu mendedahkan sebab mengapa dia terpaksa membawa anaknya menaiki motosikal ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah adalah kerana tidak mampu untuk memiliki kereta.
Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan dirinya hingga ada warga maya yang mahu menghadiahkannya sebuah kereta.
BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel
BACA LAGI: [VIDEO] Elektrik putus tiba-tiba lepas mengaji, lebih 30 murid perempuan kena histeria
"Benar, sayalah individu dalam siaran tular itu bersama-sama isteri. Dalam gambar itu, saya dalam perjalanan ke hospital untuk mengambil ubat anak saya," kata Azlan kepada Majoriti.
Menurut Azlan yang merupakan bapa kepada lima cahaya mata, anaknya yang bernama Aariz Zafran, 11 bulan, mengalami masalah paru-paru yang kronik hinggakan terpaksa memakai alat bantuan pernafasan hampir setiap masa.
Kata Azlan, dia sering berulang-alik ke hospital membawa Aariz demi memastikan kesihatan anaknya tidak menjadi lebih teruk.
"Anak saya ada masalah paru-paru kronik. Paru-parunya tidak dapat berkembang kerana saiz limpanya sedikit besar daripada normal.
"Anak saya perlu ke hospital dua bulan sekali untuk follow-up, sebulan sekali untuk mendapatkan bekalan ubat. Tetapi, dia kerap juga terpaksa dimasukkan ke dalam wad," ujar Azlan.
Lebih menyayat hati, Aariz yang menderita penyakit tersebut sejak usia dua bulan, hanya boleh membuka alat bantuan pernafasan tersebut selama dua jam sehari.
Tempoh yang dibenarkan adalah sejam pada pagi dan sejam pada petang.
Dalam pada itu, Azlan yang bekerja di pelantar ikan mengakui sukar untuk percaya apabila terdapat insan yang baik hati untuk menghulurkan bantuan ingin menghadiahkan kereta kepadanya.
"Rasa macam tak percaya, tapi syukur Alhamdulillah kalau ada insan yang nak berikan kereta sebab saya tak mampu nak beli kereta.
"Saya tahu ada pihak yang nak hadiahkan kereta, tetapi belum dihubungi oleh sesiapa lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram