KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan enam inisiatif khas buat para guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 2024 pada Khamis.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, enam insiatif itu ialah Kursus Pemerkasaan Teknologi, Kursus 'Apple Teacher', Sijil Profesional Digital, Geran Penerbitan, Program Cuti-Cuti Cikgu dan Indeks Kesejahteraan Guru.
Menurutnya, inisiatif itu bagi memperkasakan guru dan agenda guru digital pada masa akan datang.
BACA LAGI: NUTP, kesatuan guru gesa KPM kaji semula perisian idME yang membebankan
BACA LAGI: KPM, KPKT perlu kerjasama atasi masalah sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara — NUTP
Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), menyambut baik inisiatif khas buat para guru terutamanya dalam memperkasakan guru digital pada masa akan datang.
Setiausaha Agung Kesatuan NUTP, Fouzi Singon berkata, ia adalah langkah yang penting dan strategik untuk memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
"Pihak kami juga menyambut baik inisiatif transformasi digital dalam pendidikan, terutamanya dalam konteks pembelajaran abad ke-21.
"Usaha KPM dalam menyediakan peralatan ICT dan latihan kepada guru, yang dilihat sebagai langkah penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran," katanya kepada Majoriti.
Setiausaha Agung Kesatuan NUTP, Fouzi Singon
Beliau turut mencadangkan agar memberikan subsidi khas kepada guru untuk pembelian peralatan ICT bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan mempersiapkan guru dengan alat-alat yang diperlukan dalam era digital.
"Dengan pemberian subsidi khas ini, kerajaan terutamanya KPM bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pengajaran tetapi juga mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan dalam dunia yang semakin digital.
"Selain itu, pelaksanaan subsidi khas ini mampu membantu meringankan beban kewangan guru yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli peralatan ICT," katanya.
Fauzi juga berpendapat, kerajaan perlu membuat kajian untuk mengenal pasti keperluan ICT dalam kalangan guru.
Menurutnya, ia termasuk mengenal pasti jenis peralatan yang paling diperlukan seperti komputer riba, tablet, projektor, atau perisian tertentu.
"Selain itu, KPM juga boleh menjalinkan kerjasama dengan syarikat pembekal peralatan ICT untuk mendapatkan harga yang lebih murah melalui pembelian secara pukal atau program diskaun khas untuk guru," ujarnya.
Pada masa sama, bagi membantu guru senior yang tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang teknologi maklumat (IT), Fouzi berharap agar KPM dapat membuat kursus asas.
Melalui akses kepada teknologi terkini, guru dapat menyampaikan pelajaran dengan cara yang lebih interaktif dan menarik. — Gambar hiasan
"Perlu ada kursus asas kepada guru senior tetapi jangan terlalu mendesak kerana ia boleh memberi tekanan mereka, harus saya ingatkan pendidikan tradisional ini juga banyak membantu dan bukan semuanya boleh diselesaikan dengan teknologi terkini.
"Mereka, guru-guru senior ini juga faham dengan perkembangan teknologi terkini dan ada yang mengambil inisiatif sendiri mempelajari IT. Tiada masalah untuk mereka cumanya perlu ada guideline atau kursus khas.
NUTP juga menyeru agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat-syarikat korporat yang terlibat dalam industri ICT bekerjasama dengan KPM bagi berkongsi ilmu dalam dunia digital yang semakin membangun dalam dunia pendidikan.
"Kerjasama ini penting pada pendidikan yang berasaskan teknologi. Selain itu syarikat-syarikat tersebut boleh memberikan latihan atau kursus khas dalam melatih guru di bidang kepakaran masing-masing agar lebih celik dalam bidang teknologi maklumat.
Sehubungan itu, katanya, dengan akses kepada teknologi terkini, guru dapat menyampaikan pelajaran dengan cara yang lebih interaktif dan menarik.
"Penggunaan perisian pendidikan, alat bantu mengajar digital, dan sumber dalam talian dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran murid.
"Ia sekali gus menyahut seruan kerajaan untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam kurikulum sehingga dapat meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kreatif dan inovatif seiring dengan slogan 'Guru Jauhari Digital'," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram