PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah sebuah jenama besar bertanggungjawab dalam memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya di Malaysia melalui skim-skim perlindungan yang diperkenalkan.
Sejarah panjang PERKESO sinonim dengan inisiatif menyokong kesejahteraan pekerja di negara ini melalui penyediaan perlindungan insurans, peningkatan keselamatan pekerjaan dan penyediaan perkhidmatan pekerjaan.
Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely berkata, sebagai peneraju keselamatan sosial yang unggul, komprehensif dan dinamik, Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu agresif menyediakan skim keselamatan sosial yang cemerlang bagi memberikan keceriaan serta kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.
BACA LAGI: Tema 'Wanita Dijulang, Negara Gemilang' jadi aspek perjuangan PERKESO
BACA LAGI: Kerajaan rancang benarkan individu bekerja sendiri terus carum PERKESO lepas umur 60 tahun
"Lebih ramai orang akan mengenali dan mengingati jenama PERKESO dan dapat membina reputasi yang baik dengan imej positif dalam kalangan masyarakat Malaysia, di samping meningkatkan kesedaran (mengenai kepentingan skim PERKESO)," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi merealisasikan usaha itu, pelbagai skim diwujudkan bertujuan melindungi keselamatan para pencarum dan tanggungannya.
Tidak dapat dinafikan, kepelbagaian skim keselamatan yang ditawarkan mungkin menyebabkan wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, di sini Majoriti senaraikan antara empat fakta yang perlu anda ketahui untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.
Manfaat SKSSR boleh dinikmati wanita yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak.
1. SKSSR
Segelintir individu menganggap Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) diperkenalkan hanya untuk mereka yang bergelar suri rumah.
Namun sebenarnya, manfaat SKSSR juga boleh dinikmati wanita yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak, termasuk yang sudah berkahwin atau belum.
Skim tersebut turut merangkumi isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal yang layak mencarum SKSSR.
2. Pekerja sambilan
Tiada alasan untuk majikan tidak mendaftar dan mencarum pekerja mereka dengan PERKESO. — Gambar hiasan
Benarkah majikan tidak perlu mencarum PERKESO untuk pekerja sambilan dan kontrak? Stigma itu adalah salah sama sekali.
Tiada alasan untuk majikan tidak mendaftar dan mencarum pekerja mereka dengan PERKESO, meskipun buat kakitangan yang berstatus sambilan.
Bukan sahaja pekerja sepenuh masa, tetapi pekerja sambilan juga perlu didaftarkan dengan agensi berkenaan sekali gus memastikan mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Majikan seharusnya membuat pendaftaran pekerja dengan PERKESO pada bulan yang sama mereka diambil bekerja dan mula membuat caruman pada bulan berikutnya.
3. Pekerja dalam tempoh percubaan
Majikan wajib mencarum PERKESO ke atas pekerja dalam tempoh percubaan sebagai perlindungan buat mereka.
Pekerja dalam tempoh percubaan tidak perlu mencarum PERKESO adalah satu tanggapan yang salah.
Sebaik pekerja mula berkhidmat dengan majikan meskipun dalam tempoh percubaan, majikan wajib mencarum PERKESO ke atas pekerja berkenaan sebagai perlindungan buat mereka.
Memberikan sebarang alasan misalnya, majikan tidak mahu mencarum disebabkan pekerja itu masih dalam tempoh percubaan adalah sama sekali tidak boleh diterima.
Bukankah malang tidak berbau? Justeru, majikan wajib menggalas tanggungjawab memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara, lebih-lebih lagi apabila berlaku kemalangan di tempat kerja.
PERKESO juga difahamkan akan mengenal pasti mana-mana majikan yang mengabaikan tanggungjawab mencarum pekerja mereka.
4. Faedah Orang Tanggungan dan Pencen Penakat
Roshdi Ramli (berdiri kiri) antara individu yang menerima Faedah Pencen Penakat selepas kematian isterinya yang juga pencarum PERKESO.
Faedah Orang Tanggungan dan Pencen Penakat adalah tidak sama.
Faedah Orang Tanggungan dibayar kepada Orang Tanggungan yang layak sekiranya Orang Berinsurans meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.
Sementara itu, Pencen Penakat dibayar kepada Orang Tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram