NEGARA digemparkan dengan kejadian pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang dilaporkan mengalami keadaan gelora udara (turbulence) kuat sehingga mengakibatkan seorang penumpangnya maut pada Selasa.
Pesawat berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand ketika kejadian.
Seorang penumpang terbunuh manakala enam penumpang cedera parah, 39 cedera sederhana dan 26 cedera ringan akibat insiden berkenaan.
BACA LAGI: Sembilan rakyat Malaysia cedera, seorang kritikal insiden pesawat SIA 'rempuh' gelora udara kuat
BACA LAGI: Bekas pekerja airline kongsi tip naiki pesawat, elak insiden ‘air turbulence’ berlaku
Seramai sembilan rakyat Malaysia cedera dalam pesawat Singapore Airlines ketika dalam perjalanan ke Singapura. — Agensi
Berikutan tragedi tersebut, seorang bekas petugas syarikat penerbangan negara, berkongsi tip keselamatan ketika menaiki pesawat.
Jelasnya, terdapat beberapa perkara perlu dipatuhi ketika di dalam pesawat terutamanya ketika berdepan dengan situasi kecemasan.
"Sentiasa pakai tali pinggang keledar. Walaupun lampu isyarat tali pinggang keledar telah dimatikan, sebagaimana malang itu tidak berbau, 'turbulence' dan 'air pocket' di udara juga tidak berbau dan tidak dijangka.
"Pakailah tali keledar sepanjang masa, hanya buka untuk bangun ke tandas atau solat sahaja. Takda sebab, jangan buka.
"Kedua, kosongkan perut dan pundi kencing sebelum terbang jarak jauh jadi, kurang keperluan anda untuk ke tandas dan tiada sebab untuk bangun dari kerusi anda.
"Sila dengar arahan pramugara atau pramugari kerana mereka ni luangkan masa di udara lebih lama dari kita yang jarang-jarang terbang ni.
"Kalau dia suruh duduk, engkau duduk diam je lah, kalau dia kata 'no hot water' tu, kau minum mineral je lah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu, sembilan rakyat Malaysia yang menaiki pesawat terbabit kini sedang dirawat di dua hospital yang terletak di Bangkok, Thailand, kata Wisma Putra.
Menurut Wisma Putra, enam daripada mereka berada di Hospital Samitivej Srinakarin manakala tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram