MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf susulan pelaksanaan kempen #MahasiswaUiTMBantah yang dijalankan baru-baru ini.
MPP UiTM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pihaknya mengakui kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Mei lalu mengelirukan memandangkan tiada aspek kronologi kes yang sebenar diterangkan.
Malah, perkara itu turut tidak menjelaskan dengan sebaiknya tafsiran Perkara 153 Perlembagaan sehingga menyebabkan timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.
BACA LAGI: [VIDEO] UiTM akan selesai isu 'Abang Soya' dakwa teraniaya
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini satu penganiayaan', peniaga dakwa kena halau tanpa sebab pihak IPT di Johor
"Sesungguhnya perkara ini di luar jangkaan kami dan kami menerima ia sebagai satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas.
"Kami mengambil maklum isu berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja yang sensitif tidak patut ditimbulkan, serta kepentingan menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan bersama mahasiswa.
"Lantaran perkara yang telah berlaku, keharmonian tersebut telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen ini berikutan pemahaman konteks yang tidak sehaluan melalui pembacaan," katanya dalam kenyataan.
MPP UiTM dalam pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Untuk rekod, MPP UiTM sebelum ini menjalankan kempen #MahasiswaUiTMBantah bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada mahasiswa mengenai hak asasi keadilan bumiputera di pusat pengajian berkenaan.
Katanya, kempen itu menegaskan pendirian MPP UiTM berhubung isu membuka universiti itu kepada pelajar bukan Bumiputera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram